Wednesday, September 10, 2014

Minta duit zakat bayar hutang along


Kuantan: Bukan saja meminta bantuan zakat untuk melangsaikan hutang along, malah ada segelintir masyarakat Islam di negeri ini dikesan sanggup ‘menebal muka’ semata-mata mahu menggunakannya untuk melancong ke luar negara dan membeli kereta.

Timbalan Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, hampir setiap minggu ada saja pasangan datang ke pejabatnya mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan majlis perkahwinan.


Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas menunjukkan mentaliti segelintir masyarakat yang hanya mahu mengambil mudah dengan meminta wang daripada MAIP untuk kepentingan peribadi.



Menurutnya, pelbagai alasan diberikan individu berkenaan untuk meraih simpati MAIP supaya memberikan wang, malah ada yang sanggup merayu serta berbohong demi memastikan matlamat tercapai.


“Kita menerima banyak permintaan daripada individu tertentu untuk mendapatkan wang zakat bagi digunakan melangsaikan hutang dengan along selain mahu menggunakan untuk kegunaan peribadi.


“Mereka juga tanpa segan silu meminta wang zakat untuk melancong ke luar negara, membayar ansuran kereta dan lebih teruk mahu membayar bil bulanan telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, beliau berkata, alasan mahu cepat kahwin dan tiada sumber kewangan juga digunakan segelintir pasangan yang mahu meminta wang zakat bagi merealisasikan impian mereka bergelar raja sehari.


“Kebanyakan pasangan yang datang sihat tubuh badan, cuma mereka tiada sumber kewangan kerana malas bekerja. Mereka sanggup merayu diberikan bantuan kewangan supaya dapat berkahwin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

No comments:

Post a Comment