Tuesday, September 23, 2014

Tiada Timbalan MB


Kuala Lumpur: Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengesahkan barisan Exco Selangor baru tanpa mewujudkan jawatan timbalan menteri besar, dijangka diumumkan selewat-lewatnya Jumaat ini.
"Perbincangan akan diadakan petang ini bagi membincangkan apa jua berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk barisan kepimpinan negeri.
"Apa jua hasil perbincangan, barisan kepimpinan negeri akan diumumkan selewat-lewatnya Jumaat ini," katanya pada sidang media di rumah ibunya di Kampung Klang Gate di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan nama Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah turut disenarai untuk menganggotai Exco, beliau berkata, soal itu tidak timbul.
Foto
AZMIN bersalaman dengan tetamu ketika majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Menteri Besar. FOTO Osman Adnan

"Itu tidak timbul sebab saya pun tidak sebut siapa yang dilantik sehingga mesyuarat diadakan petang ini," katanya.

Azmin juga menafikan bakal mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

"Tidak...tidak wujud jawatan itu," katanya ringkas.

Mengulas penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Plaza Perangsang pada hari terakhir pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim semalam, Azmin berkata, beliau juga terkejut kerana baru diberitahu malam tadi.

"Saya kena lihat alasan di atas keputusan berkenaan yang dibuat pada saat-saat akhir," katanya.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor pada 13 November 2009.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Azmin atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, Azmin kini harus memikul amanah yang diberikan Sultan Selangor dan rakyat Selangor kerana pelantikan ini juga menyelesaikan isu pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Tahniah kepada Azmin yang telah dilantik sebagai menteri besar Selangor dan kemelut politik di Selangor dapat diselesaikan dengan baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.

Katanya, PAS akan kekal dalam pakatan rakyat di Selangor dan tidak pun terkilan dengan penolakan calon daripada PAS untuk jawatan itu kerana dari awal lagi PAS tidak mahukan jawatan itu.

Berkenaan dengan majoriti dalam Pakatan Rakyat, yang dikatakan mahu Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar sebelum ini, beliau berkata, kedudukan Sultan Selangor adalah lebih tinggi dalam menentukan siapa yang layak.

Azmin, 50, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Balairong Seri Istana Alam Shah di sini, pada jam 10.42 pagi ini.

Beliau mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih enam tahun bermula 2008.

Buat masa ini hanya empat EXCO Kerajaan Negeri dari PAS yang masih berkhidmat dalam kerajaan iaitu ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad, ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi, ADUN Sabak Sallehin Mukhyi dan ADUN Selat Klang Dr Halimah Ali selepas Exco lain dipecat oleh Abdul Khalid.

Azmin dilahirkan di Singapura pada 25 Ogos 1964 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Gurney Road (2), Kuala Lumpur dan Institut Teknikal, Jalan Cheras sebelum melanjutkan pelajaran ke University of Minnesota, Amerika Syarikat dalam bidang Sains Matematik dan Ekonomi.

Beliau antara ahli politik yang menubuhkan Parti Keadilan Nasional sebelum ditukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1998.

Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum 2008 setelah mengalahkan calon Barisan Nasional Said Anuar Said Ahmad selain turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Selangor.

Selain menjawat Timbalan Presiden PKR, beliau adalah ahli jawatankuasa Selcat dan dilantik mengetuai PKR Selangor.

Azmin berkahwin dengan Shamshidar Taharin pada 1988 dan dikurniakan enam anak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

No comments:

Post a Comment