Monday, October 13, 2014

Malaysia Bakal Bina Jalan Bercampur Getah


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 2:03 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka dapat membina jalan daripada getah pada Jun tahun depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah berkata, banyak negara telah menjalankan kajian mengenai pelbagai kegunaan getah terutama untuk sektor pembinaan.

"Sesetengah negara menggunakan getah asli (NR) untuk membina jalan. Malaysia juga akan menjadi antara negara berkenaan," katanya dalam taklimat media di sini, Isnin selepas merasmikan Persidangan Getah Tahunan Ketujuh anjuran Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli, bertemakan 'Kelestarian Ekonomi NR yang Saksama'.

Uggah berkata, jika harga terus bergerak pada kadar perlahan, ada kemungkinan getah asli akan diguna untuk membina jalan.

Katanya, Thailand yang telah menjalankan ujian, mendapati walaupun pelaburan awal tinggi, kos penyelenggaraan adalah rendah untuk jangka panjang.

"Jalan daripada getah juga sebagus jalan tar atau bitumen. Thailand menggunakan 3.3 tan getah asli sekilometer untuk pembinaan jalan," katanya.

Uggah berkata, antara langkah segera yang diambil bagi menyokong industri getah asli ialah menanam semula pokok getah di kawasan seluas 50,000 hektar bagi menggantikan pokok berusia lebih 20 tahun.

Terdahulu dalam ucapannya, Uggah berkata kerajaan menyambut baik cadangan persatuan pengeluar getah Thailand, Indonesia dan Malaysia baru-baru ini untuk tidak menjual di bawah harga RM1.50 sekilogram.

"Jadikan ini ujian yang mengukur keazaman dan persaudaraan kita dalam menyelesaikan krisis harga sekarang," katanya.

No comments:

Post a Comment