Monday, October 13, 2014

Wujud pembocor maklumat kedua NSA


DARI kiri, Edward Snowden, David Miranda (jurugambar), Glenn Greenwald dan Laura Poitras bergambar bersama di satu lokasi yang tidak didedahkan. - AGENSI
NEW YORK 12 Okt. - Dokumentari terbaharu, Citizenfour yang mengisahkan tentang pendedahan maklumat risikan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Negara (NSA), Edward Snowden menunjukkan wujudnya pembocor maklumat kedua daripada agensi itu sendiri, sama seperti yang disyaki oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Menurut portal berita Mail Online yang memetik kenyataan laman web The Hollywood Reporter, cerita tentang suspek kedua tersebut didedahkan dalam dokumentari arahan Laura Poitras yang bertemu Snowden selama lapan hari di Hong Kong sebelum bekas kontraktor itu membocorkan beribu-ribu maklumat sulit kerajaan pada tahun lepas sehingga sekarang.
Jelas laporan berkenaan, wartawan pertama yang menyiarkan pendedahan Snowden kepada umum dikenali sebagai Glenn Greenwald dan Potrait pula menjadi individu pertama yang mengadakan sesi wawancara secara langsung dengan bekas kontraktor tersebut.
Greenwald melalui laman webnya, The Intercept mendakwa, dua artikel yang dilaporkan oleh akhbar Jerman terhadap aktiviti pengintipan AS ke atas negara terbabit tidak menyebut nama Snowden sebagai pemberi maklumat, sekali gus menunjukkan bahawa bukan dia sahaja yang membocorkan maklumat risikan itu.
Tambahnya, dalam dokumentari Citizenfour, suspek kedua merupakan individu berpangkat lebih tinggi daripada Snowden, tetapi tiada butiran lanjut tentang pemberi maklumat itu yang membocorkan rahsia kepada wartawan.
"Kerajaan AS mempunyai nama sejuta orang yang dikumpul dalam pangkalan data yang dinamakan sebagai Pangkalan Data Identiti Pengganas (TIDE) dan satu senarai lain yang mempunyai 680,000 nama diletakkan di bawah pemantauan.
"Kira-kira 40 peratus individu yang tersenarai tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dokumentari Citizenfour turut disenaraikan oleh kerajaan AS," katanya.
Snowden diburu oleh kerajaan AS di bawah Akta Pengintipan dan kini tinggal di Rusia selepas diberi kelulusan oleh Moscow untuk berlindung di negara itu selama tiga tahun.
Dokumentari tersebut turut mendedahkan bahawa kekasih Snowden, Lindsay Mills kini mene­tap bersamanya di Rusia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141013/lu_10/Wujud-pembocor-maklumat-kedua-NSA#ixzz3FydBwmZG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment