Thursday, October 23, 2014

Pelajar belum puas hati

SEORANG wanita disorak penunjuk perasaan prodemokrasi selepas dia memaksa mereka bersurai dan bersyarah mengenai sejarah China.
Hong Kong: Selepas protes berlangsung selama beberapa minggu dan menggegarkan hab kewangan Hong Kong, 7.2 juta penduduk setempat menyangka tiada apa-apa yang perlu diperhatikan lagi sehinggalah malam kelmarin apabila sesuatu yang luar biasa terjadi.
Di televisyen, mereka menyaksikan perdebatan di antara pelajar yang mengenakan kemeja-T hitam bertulis 'Freedom Now' dan pemimpin atasan Hong Kong.
Mereka berbalas hujah mengenai masa depan demokrasi di wilayah yang terletak di bawah jajahan China itu.
Lima pemimpin pelajar dengan rambut tidak terurus melontarkan soalan kepada pegawai kerajaan yang jauh lebih dewasa menggunakan dialek Kantonis dan diterjemahkan serentak ke bahasa Inggeris dan bahasa isyarat.
Pelajar terbabit menuntut pemimpin kerajaan itu memberikan komitmen kepada perjalanan pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Hong Kong, Alex Chow, 24, bertanya kepada Ketua Setiausaha Pentadbiran Hong Kong, Carrie Lam, 57, mengenai rancangan masa depan kerajaan.
Namun sepanjang perdebatan selama dua jam itu, wakil kerajaan enggan membuat sebarang janji sebaliknya berkata, mereka hadir hanya 'untuk mendengar' pandangan pelajar.
Kedua-dua pihak menggunakan petikan perlembagaan untuk menyokong hujah masing-masing.
Pelajar Hong Kong kini berkampung di tengah bandar raya itu bagi menuntut kerajaan melaksanakan reformasi pilihan raya.
Mereka juga menuntut Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying meletak jawatan kerana gagal memenuhi tuntutan mereka, selain membiarkan keganasan dilakukan pihak berkuasa.
Hong Kong dijadual menjalani pilihan raya umum untuk lima juta pengundi pada 2017.
Protes jalanan itu bermula sejak akhir September lalu.
Carrie berkata, kerajaan bersedia menyerahkan laporan kepada Beijing dan peraturan pilihan raya mungkin diubah dalam pilihan raya akan datang.
Ia ternyata tidak memadai bagi pelajar.
Sebaliknya, mereka mahu undang-undang pilihan raya diubah serta-merta dan calon yang bertanding tidak perlu mendapat lampu hijau daripada kerajaan pusat.
Sementara itu, semalam, pemimpin pelajar mungkin menolak rundingan lanjut dengan kerajaan selepas ini.
Chow berkata, kerajaan mesti mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"Setakat ini apa yang mereka tawarkan tidak praktikal.
"Kami tidak bercadang meninggalkan jalanan dalam tempoh terdekat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:02 AM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3479#sthash.wGQm6SzI.dpuf

No comments:

Post a Comment