Sunday, October 19, 2014

Pelancong mula elak perjalanan ke Afrika


DALLAS – Beberapa syarikat agensi pelancongan mendedahkan bahawa pelanggan mereka mula melahirkan persoalan mengenai keselamatan kesihatan mereka semasa membuat tempahan perjalanan ke luar negara berikutan wabak Ebola yang semakin menular.
Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula melaporkan sehingga 14 Oktober lalu sebanyak 4,555 orang mati akibat wabak maut berkenaan daripada 9,216 kes jangkitan yang dikesan di tujuh buah negara di Afrika Barat.
Jumlah tersebut meningkat ketara berbanding 4,493 kematian daripada 8,997 kes jangkitan Ebola dua hari sebelum itu.
Pada masa kini, beberapa mangsa yang bersentuhan dengan pesakit yang dijangkiti wabak Ebola sedang dirawat di Amerika Syarikat (AS) dan tiga daripada mereka dikesan di Dallas.
Dua daripada mangsa dilaporkan jatuh sakit selepas menaiki pesawat penerbangan tempatan. Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana secara purata lebih dua juta orang menggunakan pesawat udara tempatan dan antarabangsa di AS.
Seorang eksekutif pelancongan, Tim Husted daripada syarikat Pelancongan Carlson Wagonlit yang memiliki cawangan hampir di seluruh dunia berkata, sebilangan pelanggan mereka mula mengubah jadual perjalanan akibat wabak Ebola, malah ada yang enggan memasuki kawasan Dallas.
Seorang kakitangan sebuah lagi agensi pelancongan di New York, Maryann Cook pula memberitahu, seorang doktor yang membayar pakej pelancongan ke Afrika Selatan sebanyak AS$197,000 (RM644,977) untuk 30 ahli keluarga telah menangguhkan percutian itu ke tahun 2016 meskipun terpaksa kehilangan wang deposit sebanyak AS$60,000 (RM196,439)
“Afrika Selatan sebenarnya jauh daripada kawasan wabak Ebola tetapi mereka sudah tentu mendapat tekanan daripada anak-anak dan ahli keluarga,” jelas Cook.
Sebuah laman web berkaitan insurans pelancongan, SquareMouth.com pula memberitahu permintaan terhadap insurans pelancongan semakin meningkat akibat wabak Ebola. –AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1019&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3GXfVOfT2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment