Tuesday, October 14, 2014

Penerima Nobel disiasat


Medal emas 24 karat yang dimenangi oleh Brian Schmidt (kiri) atas sumbangan beliau dalam bidang fizik. - AGENSI
NEBRASKA 13 Okt. - Penerima Hadiah Nobel untuk bidang Fizik, Profesor Brian Schmidt, baru-baru ini mendedahkan, beliau mengalami pengalaman yang janggal apabila ditahan dan disoal siasat oleh pihak keselamatan Lapangan Terbang Fargo, di sini kerana membawa medal emas yang dimenanginya.
Ketika bercerita kepada penonton di New York tentang pengalamannya itu, Schmidt berkata, beliau membawa medal emas 24 karat bernilai kira-kira AS$10,000 (RM32,670), untuk ditunjukkan kepada neneknya yang tinggal di Fargo, North Dakota.
Namun, menurut ahli astronomi yang berasal dari Australia itu, apabila beliau melalui mesin pengimbas badan di pusat pemeriksaan lapangan terbang terbabit, anggota keselamatan yang bertugas mengesan benda bulat berwarna hitam di dalam beg komputer bimbitnya.
"Mereka menyoal saya apakah benda di dalam kotak tersebut dan saya menjawab, objek itu merupakan medal emas yang besar.
"Apabila mereka membuka kotak berkenaan, sekali lagi mereka bertanya, medal itu diperbuat daripada apa dan saya tetap menjawab ianya adalah emas," kata Schmidt seperti yang dilaporkan oleh portal berita Mail Online.
Malah Schmidt cuba berjenaka apabila beliau menjawab emas tersebut diberikan oleh Raja Sweden, ketika dia ditanya oleh pegawai keselamatan siapakah yang memberikan barang berharga itu.
Apabila ditanya kenapa Raja Sweden memberi medal itu, Schmidt menjawab: "Kerana sumbangan saya menemukan kadar perkembangan alam semesta yang semakin pantas bergerak."
"Kemudian mereka mula serius menyebabkan saya menjelaskan bahawa medal itu merupakan Hadiah Nobel dan mereka akhirnya bertanyakan tujuan saya datang ke Fargo," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141014/lu_10/Penerima-Nobel-disiasat#ixzz3G4VLqCe8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment