Friday, October 17, 2014

Taiwan rancang bina pelabuhan tentera di Spratly


GAMBAR yang diambil dari udara merakamkan pemandangan Pulau Itu Aba yang mahu dijadikan sebagai pelabuhan tentera laut oleh Taiwan. - AGENSI
TAIPEI 16 Okt. - Taiwan berhasrat untuk menempatkan kapal tentera lautnya secara kekal di kawasan maritim yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, satu tindakan yang bakal mengundang kemarahan banyak pihak, selepas China mendakwa kawasan tersebut adalah miliknya.
Perebutan ke atas Pulau Spratly yang kaya dengan sumber mineral sering menjadi tumpuan selepas Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam turut mendakwa pulau berkenaan milik mereka, selain situasi semasa dipantau oleh Amerika Syarikat, gara-gara China membina pelantar minyak di sana.
Ketika ini Taiwan sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan pelabuhan di Itu Aba atau turut dikenali sebagai Tai Ping, salah sebuah pulau yang terdapat di Spratly.
Kerajaan Taiwan sebelum ini berkata, pelabuhan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2015 dan boleh menampung kapal tentera luat seberat 3,000 tan, selain bot pengawal pantai.
Pegawai Pengawal Pantai dan Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan bersama berkata, pelabuhan tersebut mungkin dijadikan 'rumah' kekal untuk kapal tentera laut.
"Kami sedang berbincang berhubung perkara tersebut kerana ini merupakan satu isu yang sangat sensitif.
"Tindakan ini diambil untuk mempertahankan kepentingan kami di sekitar Itu Aba," jelas kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Luar China, Wang Yi dalam satu kenyataan berkata, Taiwan dan tanah besar China adalah sebahagian daripada wilayah China dan segala aktiviti relevan yang dijalankan oleh rakyat China di Pulau Spratly tidak akan dihalang. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141017/lu_03/Taiwan-rancang-bina-pelabuhan-tentera-di-Spratly#ixzz3GLtn7vfI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment