Thursday, November 20, 2014

Ahok Gabenor Jakarta pertama beragama Kristian


ANGGOTA kumpulan Barisan Pembela Islam (FPI) mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perlantikan orang bukan Islam sebagai Gabenor Jakarta di Jakarta semalam.


JAKARTA – Gabenor Jakarta Kristian pertama dalam tempoh hampir 50 tahun, Basuki Tjahaja Purnama mengangkat sumpah jawatannya semalam walaupun mendapat bantahan ramai penduduk Islam yang menentang orang bukan Islam dipilih menduduki jawatan tersebut.
Kerusi Gabenor Jakarta merupakan antara jawatan politik paling berkuasa di Indonesia. Presiden Joko Widodo menyertai majlis angkat sumpah Basuki yang sebelum ini merupakan Timbalan Gabenor Jakarta di Istana Presiden di sini.
Basuki yang popular dengan gelaran Ahok memangku jawatan Gabenor sejak Widodo berundur pada bulan lalu untuk menjadi Presiden Indonesia.
Dalam perkembangan berkaitan, beratus-ratus orang Islam mengadakan tunjuk perasaan terhadap Ahok sekali gus membayangkan situasi sukar Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi untuk memupuk toleransi agama di Indonesia.
Negara itu memiliki populasi orang Islam paling ramai di dunia.
Ahok berbangsa Cina yang merupakan etnik minoriti di Indonsia. Kaum Cina dibenci penduduk pada masa lalu ekoran mereka dituduh mengawal sebahagian besar perniagaan dan perdagangan di Indonesia.
Terdahulu, beribu-ribu anggota polis dikerahkan ke bandar raya ini pada minggu lalu untuk menghadapi kemungkinan berlakunya keganasan.
Sebelum ini, majlis angkat sumpah Ahok telah ditangguhkan untuk mendapatkan dekri Presiden berhubung perlantikan tersebut.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tjahjo Kumolo berkata, majlis itu akan diadakan pada minggu hadapan manakala akhbar Jakarta Globe melaporkan ia diadakan kelmarin.
Setakat ini, masih tidak jelas punca majlis itu dianjakkan pada semalam.
Indonesia yang memiliki 240 juta penduduk menyaksikan peningkatan dalam serangan terhadap penduduk Kristian, Syiah dan ajaran Ahmadiyah sejak lebih sedekad lalu.
Pentadbiran Jokowi yang mengambil alih tampuk pemerintahan pada bulan lalu bagaimanapun berjanji akan melindungi semua agama minoriti di Indonesia yang mempunyai 90 peratus penduduk Islam. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3JYRTjFtT 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment