Thursday, November 20, 2014

Pemimpin Kosovo sepakat bentuk kerajaan gabungan

Presiden Atifete Jahjaga. - Foto wikipedia
PRISTINA (Kosovo): Perdana Menteri Kosovo dan pemimpin parti pembangkang utama di negara ini mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan gabungan, sekali gus menamatkan pertikaian politik selama lima bulan, kata Presiden Atifete Jahjaga.
Jahjaga berkata, Parti Demokratik pimpinan Perdana Menteri, Hashim Thaci dan Liga Demokratik pimpinan Isa Mustafa akan berusaha untuk mengatasi kebuntuan politik yang mengancam negara Balkan itu dan menjurus ke arah kemuflisan.
Persetujuan itu mengecewakan parti pembangkang lain yang sebelum ini menyebelahi Mustafa dalam usaha untuk menyingkirkan Thaci, berikutan dakwaan rasuah di peringkat atasan dan penyiasatan antarabangsa berhubung pemerdagangan organ.
Gabungan parti terbesar itu bagaimanapun perlu mendapat mandat Parlimen Kosovo, yang mempunyai 120 kerusi dan setakat ini masih belum bersidang kerana
perbezaan pendapat di antara parti politik mengenai siapa yang patut mentadbir.
Thaci menang dalam pilihan raya pada 8 Jun lalu, tetapi tidak memperoleh majoriti untuk membentuk kabinet.
Selain itu ia juga menghadapi halangan daripada pihak pembangkang yang mahukan sebuah kerajaan baharu ditubuhkan selepas pengunduran Thaci.
Parlimen Kosovo yang akan bersidang dijangka meluluskan bajet dan undang-undang bagi penubuhan sebuah mahkamah khas dipimpin Kesatuan Eropah bagi mengadili Thaci dan rakan seperjuangannya dalam peperangan yang didakwa 'mengorek' organ rakyat Serbia yang ditawan.
Thaci bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Beliau adalah bekas ketua Tentera Pembebasan Kosovo yang mengetuai gerila Albania dalam peperangan pemisah terhadap Serbia pada 1998-1999. - AP

No comments:

Post a Comment