Monday, November 10, 2014

Dua juta rakyat Catalonia mengundi tidak rasmi untuk berpisah daripada Sepanyol

BARCELONA: Kira-kira 1.6 juta orang menyatakan persetujuan bagi pemisahan Catalonia daripada Sepanyol dalam pengundian tidak rasmi atau 'mock poll' yang dijalankan semalam.
Bagaimanapun ramai penduduk Catalonia tidak keluar mengundi kerana kesahihan pengundian itu yang dipertikaikan atau bantahan mereka terhadap pemisahan Catalonia daripada Sepanyol.
Keputusan yang diumumkan awal hari ini menunjukkan daripada 88 peratus undi yang dikira, lebih dua juta mengundi dan 1.6 juta bersetuju membentuk sebuah negara baharu yang terpisah daripada Kesatuan Eropah (EU) dan terpaksa memohon keanggotaan.
Keseluruhannya 5.4 juta orang layak mengundi, yang bermakna ramai yang enggan mengambil bahagian kerana bimbang mengenai kesahihannya.
Ahli Parlimen Catalonia memutuskan untuk mengadakan pengundian tidak rasmi berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menggantungnya selepas kerajaan mencabarnya sebagai tidak sah dari segi perlembagaan.
Mahkamah menggantung pengundian tidak rasmi itu pada hari sama atas alasan sama Selasa lalu.
Kerajaan tempatan Catalonia bagaimanapun mengingkari penggantungan itu dan meneruskan pengundian dengan bantuan 40,000 anggota suka rela.
"Walaupun terdapat banyak masalah, kami masih boleh melaksanakan pengundian itu" kata Presiden Catalonia, Artur Mas selepas memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi di sebuah sekolah di Barcelona.
Tambahnya, pengundian itu adalah simbolik. Ia mungkin akan menjurus kepada pilihan raya serantau yang akan menjadi pengundian untuk pemisahan.
"Kami minta dunia bantu kami untuk meyakinkan institusi di Sepanyol bahawa Catalonia patut diberikan peluang untuk mengundi bagi menentukan masa depannya," kata Mas. - AP

No comments:

Post a Comment