Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, meskipun perkara itu dilakukan secara terang-terangan sejak beberapa tahun lalu, tiada tindakan drastik diambil oleh kerajaan negeri serta pihak berkuasa.
Katanya, tiadanya pemantauan ketat yang dilakukan oleh pihak berkuasa menyebabkan aktiviti meneroka tanah pertanian secara haram semakin berleluasa.
“Kalau kawasan yang diterokai itu adalah pedalaman, mungkin kerajaan negeri serta pihak berkuasa boleh beri alasan terlepas pandang, tetapi aktiviti pencerobohan berlaku di tepi-tepi jalan utama.
“Kami banyak terima aduan daripada penduduk di sini bahawa berlakunya aktiviti penerokaan tanah di kawasan yang jelas terpacak papan tanda dilarang menceroboh. Tetapi tiada tindakan daripada pihak berkuasa, mereka seolah-olah bersikap lepas tangan dan tidak melakukan pemantauan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai bencana banjir kilat kedua yang melanda daerah ini dalam tempoh dua tahun yang telah mengorbankan sembilan nyawa.
Mengulas lanjut, Ramakrishnan juga menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan racun serangga secara tidak terkawal.
Katanya, hasil tanaman di negeri ini tidak lagi diterima oleh Singapura kerana faktor racun tersebut yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai.
“Selain itu, pembangunan projek di negeri ini diluluskan tanpa kawalan. Tiada pemantauan dilakukan terhadap projek pembangunan menyebabkan faktor keselamatan sekitar kawasan ini boleh dipertikaikan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, menurut seorang aktivis alam sekitar yang hanya mahu dikenali sebagai Raja, 35, daerah ini akan hilang status lokasi pelancongan sekiranya aktiviti pencerobohan tanah pertanian haram terus berleluasa.
Beliau yang merupakan anak jati daerah ini mendakwa, apa yang berlaku di daerah ini adalah disebabkan perbuatan rasuah oleh beberapa kakitangan agensi awam yang tidak bertanggungjawab.
“Apa yang saya kesalkan ialah tiada tindakan diambil oleh kerajaan negeri terhadap perkara ini. Sejak berlakunya tragedi banjir kilat tahun lalu, jumlah penerokaan tanah pertanian haram bukan sahaja tidak berkurang, malah bertambah setiap hari.
“Ahli Parlimen pula seperti tidak membantu dalam isu ini sehinggakan penduduk di sini berasa sangat kecewa. Dulu pun berlaku hujan lebat, tetapi tidak terjadi bencana seperti hari ini,” jelas beliau.