Saturday, November 8, 2014

Pembunuh Osama dedah identiti


REUTERS - GAMBAR fail pada 2 Mei 2011 menunjukkan pekarangan kediaman Osama di Abbottabad, Pakistan selepas Ketua al-Qaeda itu dibunuh oleh komando SEAL.


WASHINGTON – Seorang bekas komander Tentera Laut (SEAL) Amerika Syarikat (AS) yang mengaku menembak ketua al-Qaeda di dahi, mendedahkan identitinya kepada umum kelmarin.
Robert O'Neill, 38, memberitahu akhbar The Washington Post dalam satu temu bual bahawa dia melepaskan dua das tembakan yang membunuh Osama bin Laden. O’Neill pertama kali mendedahkan kisah tersebut kepada majalah Esquire pada Februari 2013 yang menamakan dirinya sebagai ‘si penembak’.
Seorang komando dan seorang bekas komando SEAL mengesahkan kepada agensi berita Associated Press (AP) bahawa O'Neill telah lama diketahui sebagai orang yang menembak dan membunuh Osama.
Ketua al-Qaeda itu bertanggungjawab mendalangi serangan ke atas AS pada 11 September 2001.
O'Neill memberitahu The Washington Post bahawa beberapa das tembakan turut dilepaskan oleh dua lagi komando SEAL, termasuk Matt Bissonnette yang menceritakan tentang serbuan terhadap Osama di sebuah kediaman di Abbottabad, Pakistan dalam bukunya, No Easy Day.
Dia dijadualkan muncul dalam beberapa segmen saluran Fox News pada minggu depan.
O’Neill memberitahu akhbar berkenaan bahawa dia membuat keputusan untuk membuat pendedahan umum kerana bimbang identitinya dibongkar oleh orang lain.
Kebimbangan bekas komando itu menjadi nyata apabila namanya disiarkan oleh laman web SOFREP Isnin lalu.
Tindakan O’Neill dan Bissonnette itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan sebilangan anggota tentera AS.
Dalam sepucuk surat terbuka bertarikh 31 Oktober lalu, Laksamana Muda Brian Losey menggesa anggota komando SEAL supaya tidak mencari publisiti dalam komen yang dipercayai ditujukan kepada O’Neill dan Bissonnette. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3IQYRpy8V 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment