Thursday, November 27, 2014

Kekal Akta Hasutan, janji Najib tak boleh percaya


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Akta Hasutan 1948 dilihat keputusan terdesak bagi menjaga kedudukannya sebagai Presiden Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, desakan dari semua peringkat sayap di dalam Perhimpunan Agung Umno memaksa Najib melanggari janji sendiri sebelum ini.

"Najib telah melanggari slogan janji ditepati, oleh kerana ingin memastikan kedudukannya tidak hilang beliau terpaksa mungkir janji.

"Sebelum ini beliau sendiri mengatakan Akta Hasutan itu akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta yang baru tetapi bila merasakan akan ada desakan mengenai kedudukan, janji terpaksa dicapatikan," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, keputusan Najib ini membuatkan rakyat hilang keyakinan terhadap janji-janji yang telah beliau katakan sebelum ini.

"Rakyat tidak akan percaya lagi dengan apa yang Najib janji selepas ini, untuk menjaga kedudukan janji dengan rakyat beliau khianati," sambung beliau.

Najib berkata Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan memasukkan dua peruntukan khas bagi mengukuhkan lagi akta itu.
  
Katanya, kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.
  
"Akta Hasutan akan terus dikekalkan. Malah akan dipertahan, diperkuat dan diperkukuhkan," tegasnya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyifatkan keputusan Najib itu dilihat menghina Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang sedang merangka drat Akta Keharmonian Nasional bagi mengantikan Akta Hasutan 1948.

"Kerajaan sepatutnya mendengar terlebih dahulu hasil kajian daripada jawatankuasa tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

"Keputusan secara tergesa-gesa ini menyebabkan berlakunya pembaziran dari segi masa dan wang, kalau betul Najib mengekalkan akta itu beliau juga perlu mengumumkan pembubaran jawatankuasa tersebut," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 27/11/2014

No comments:

Post a Comment