Isu kalimah ALLAH
SHAH ALAM - Kitab Bible menggunakan kalimah ALLAH yang telah dipulangkan kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) semalam, tidak dibenarkan untuk digunakan ataupun diedarkan di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa berkata, kitab itu hanya dibenarkan digunakan kepada penganut Kristian di Sarawak.

Menurutnya, larangan  tersebut adalah sebagai menghormati pegangan agama serta menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

“Mais menghormati keputusan yang telah dicapai hasil perbincangan mengenai isu pemulangan kitab Bible yang dirampas.

“Kita menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memulangkannya kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS), di Istana Alam Shah, Klang pagi ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bible mengandungi kalimah ALLAH dipulangkan]

Demi menjaga kesucian Islam sebagai agama rasmi negara, beliau mengingatkan jangan ada pihak yang cuba mencetak dan mengagihkan semula kitab seumpama itu di negeri ini.

Beliau berkata, larangan itu selaras dengan Enakmen Agama Bukan Islam (kawalan pengembangan di kalangan orang Islam) 1988.

Semalam, kesemua 351 Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas awal tahun ini kerana mengandungi perkataan ALLAH telah dipulangkan kepada ACS, selepas berlarutan hampir setahun.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataannya berkata, pemulangan Bible itu dilakukan ketika kunjungan hormat Pengerusi ACS, Datuk Bolly Lapok bertemu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Katanya, pihak terlibat terutamanya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan ACS mencapai satu penyelesaian yang baik dalam isu ini menerusi usaha ikhlas serta keyakinan untuk menghormati sensitiviti agama dan masyarakat.