Menurut akhbar Sunday Times, pindaan itu yang diusulkan oleh Setiausaha Kesihatan, Jeremy Hunt di bawah Akta Keluarga dan Kanak-kanak, akan dikuatkuasakan bermula Oktober tahun depan dan pesalah berdepan denda sebanyak 800 pound (RM4,246) jika merokok sambil membawa kanak-kanak di dalam kereta dan denda sehingga 10,000 pound (RM53,075) bagi pemandu yang gagal menghalang penumpang lain merokok.
Februari lalu, kerajaan meluluskan undang-undang larangan merokok dalam kenderaan dan pesalah boleh dikenakan kompaun sebanyak 60 pound (RM318) atau lesen memandu mereka digantung.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Awam, Jane Ellison berkata, peraturan baharu itu perlu dilaksanakan bagi melindungi kanak-kanak sebagai perokok kedua, iaitu golongan yang menghidu asap rokok.
Jelasnya, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan undang-undang baharu tersebut bagi menghentikan tabiat merokok dalam kalangan pemandu atau penumpang kenderaan peribadi yang membawa kanak-kanak.
Sementara itu, ketua eksekutif kempen kesihatan Tindakan Ke Atas Rokok dan Kesihatan, Deborah Arnott berkata, kereta diibaratkan kotak tin yang kecil, di mana tembakau rokok boleh mencapai tahap berbahaya dengan cepat.
“Sudah tiba masanya untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada menghidu toksik berbahaya yang terhasil daripada asap rokok,” katanya.
Jabatan Tinjauan Kesihatan Britain pada 2012 melaporkan, seramai 300,000 kanak-kanak di negara ini mengalami masalah kesihatan akibat menghidu asap rokok termasuk jangkitan paru-paru dan lelah.