Tuesday, December 16, 2014

Clare Smyth chef wanita terbaik Britain

16 Disember 2014 BERGELAR ketua tukang masak di restoran milik salah seorang chef terkenal dunia, Gordon Ramsay, Clare Smyth merupakan wanita Britain pertama mengendalikan sebuah restoran dengan tiga bintang Michelin.

Baginya, pencapaian dan kejayaan yang dikecapi hari ini adalah pencapaian terbesar dalam hidupnya. Ia juga jelas menunjukkan keazaman serta kesungguhan untuk bersaing dalam dunia masakan yang biasanya dimonopoli golongan lelaki.

Sebelum pulang ke London pada 2007 sebagai Ketua Chef di Restoran Gordon Ramsay, Clare bekerja dengan Alain Ducasse di Le Louis XV by Alain Ducasse di Monte Carlo.

Kehidupan awal

Clare Smyth dilahirkan pada tahun 1978 di Ireland Utara dan membesar di Bandar Antrim, iaitu salah satu daripada enam daerah yang membentuk Ireland Utara.
Smyth bersama sekumpulan pelajar yang mengunjungi Restoran Girdon Ramsay.
Smyth bersama sekumpulan pelajar yang mengunjungi Restoran Girdon Ramsay.

Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik kepada pasangan William, seorang petani dan ibunya, Doreen, yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran tempatan.

Ketika berusia 15 tahun, Smyth sempat bekerja di sebuah restoran di bandar ketika musim cuti persekolahan. Pengalaman yang diperoleh itu sekali gus memberinya inspirasi untuk menjadi seorang tukang masak.

Setahun kemudian, beliau berhenti sekolah dan berpindah ke England untuk belajar dalam bidang kulinari di Kolej Highbury di Portsmouth, Hampshire di London.


Kerjaya

Semasa di kolej masakan, Smyth bekerja sambilan di Grayshott Hall, Surrey di England dan kemudian meletak jawatan untuk meneruskan kerjaya awal sepenuh masa di restoran Terrance Conran di Michelin House, London.

Di sana, beliau berpeluang menimba pengalaman bekerja dengan sebuah syarikat katering di Australia selama enam bulan dan sekembalinya ke United Kingdom, Smyth bekerja dengan beberapa buah restoran termasuk The Waterside Inn dan Gidleigh Park.

Selain itu, Smyth juga pernah bekerja di restoran St Enodoc Hotel di Rock, Cornwall di England sebelum dilantik menjadi ketua tukang masak. Ketika bekerja di sana juga, beliau memenangi gelaran Young Cornish Fish Chef of the Year.

Pada tahun 2002, Smyth menerima tawaran untuk bekerja di Restoran Gordon Ramsay. Namun, pada 2004, beliau bekerja di The French Laundry di California dan Per Se di New York untuk menambah pengalaman.

Pada 2007, beliau diumumkan sebagai ketua tukang masak baharu di Restoran Gordon Ramsay, sekali gus menjadi wanita pertama di Britain yang mengendalikan restoran bertaraf tiga bintang Michelin.

Ketika pelantikannya itu, terdapat tujuh orang sahaja wanita yang bergelar ketua tukang masak di restoran yang mempunyai pengiktirafan Michelin di seluruh dunia.

“Bekerja di sebuah restoran yang mempunyai pengitirafan Michelin, anda tidak boleh leka. Anda perlu sentiasa berikan yang terbaik dan setiap hidangan di atas pinggan yang dibawa keluar dari dapur perlulah sempurna.

“Ketika di dapur, kita perlu sentiasa bersedia menerima teguran untuk memperbaiki diri. Jika berlaku kesilapan, ia dirasai oleh semua orang dan kemarahan itu tidak disimpan di dalam hati,” katanya.

Selepas beberapa tahun bekerja dengan Ramsay, dan restoran Alain Ducasse’s Le Louis XV di Monaco, beliau kembali semula ke United Kingdom untuk mengendalikan restoran berasaskan Chelsea.

Tahun lalu, Smyth dilantik sebagai Ahli Perintah Empayar British atau dikenali sebagai (MBE) pada Ulang Tahun kepujian bagi perkhidmatan untuk industri hospitaliti pada 2013.


Pengiktirafan dan kerja kebajikan

Ogos lalu, Smyth melangkah setapak lagi apabila berjaya dianugerahkan markah penuh 10 oleh The Good Food Guide.

Pelbagai pengiktirafan dan gelaran yang diterima termasuk MBE, Smyth mencipta nama tersendiri dalam golongan tukang masak terhebat di dunia.

Sejak mengambil alih sebagai Ketua Chef di Restoran Gordon Ramsay, Smyth juga pernah bekerja dengan beberapa badan kebajikan seperti Action Against Hunger,

Scottish Spina Bifida, Bobbi Bear Foundation South Africa (Johannesburg) dan Who’s Cooking Dinner?

“Bagi saya adalah lebih mudah untuk lakukan sesuatu yang disukai walaupun terpaksa bekerja sehingga 18 jam sehari kerana setiap saat yang dihabiskan, dinikmati dengan sebaiknya,” katanya.

No comments:

Post a Comment