Kematian seorang pemuda kulit hitam Akai Gurley, 28, yang ditembak mati di Brooklyn, New York, merupakan kejadian terbaharu membabitkan tindakan keganasan polis, sekali gus menyemarakkan kemarahan orang ramai terhadap pihak polis yang bersikap perkauman.
Gelombang kemarahan ditunjukkan melalui tunjuk perasaan aman secara besar-besaran bermula Rabu lalu apabila panel juri agung New York memutuskan tidak akan mendakwa seorang pegawai polis, Daniel Pantaleo, yang didakwa mencekik seorang lelaki kulit hitam, Eric Garner, 43, yang mempunyai enam orang anak sehingga mati pada 17 Julai lalu.
Garner yang tidak memiliki senjata ditangkap kerana disyaki menjual rokok haram dalam satu rakaman video ketika bergelut dengan polis di Pulau Staten pada Julai lalu.
Keputusan membebaskan Pantaleo dibuat sembilan hari selepas sebuah panel juri agung di Missouri memutuskan untuk tidak mendakwa seorang lagi anggota polis kulit putih kerana menembak mati seorang remaja kulit hitam yang juga tidak bersenjata di St. Louis, Ferguson pada Ogos lalu, sehingga mencetus tunjuk perasaan selama dua malam di kawasan berkenaan.
Kemudian pada hari Khamis di Phoenix, Arizona, seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata ditembak mati pula oleh seorang pegawai polis kulit putih semasa bergelut, yang membawa kepada tercetusnya tunjuk perasaan di bandar itu.
“Kerajaan telah mencipta seekor raksasa dan ia kini sedang terlepas,” kata Soraya Soi Free, 45, seorang jururawat di Bronx yang menyertai tunjuk perasaan di New York.
Sebelum ini, keengganan juri mendakwa anggota polis dalam kes serupa di Ferguson, Missouri, turut dikecam hebat sehingga Peguam Negara, Eric Holder memulakan semakan sivil terhadap kes itu.
Holder turut menjanjikan akan menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes terbaru membabitkan Garner di New York.
Demonstrasi bermula pada sebelah petang selepas waktu pejabat dan penunjuk perasaan menganggu lalu lintas sehingga menyebabkan kesesakan teruk dan semakin ramai menyertai tunjuk perasaan itu menjelang malam.
Mereka kemudian berpecah kepada beberapa kumpulan di lokasi berbeza, namun tiada keganasan berlaku.
Keadaan menjadi tegang apabila sekurang-kurangnya 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di Times Square sejurus sebelum tengah malam. – REUTERS