Monday, January 12, 2015

600,000 berhimpun kenang mangsa serangan di Paris



SEBAHAGIAN daripada orang ramai yang menyertai perarakan di Republic Square, Paris semalam.- AFP


PARIS – Kira-kira 600,000 penduduk dan lebih 40 pemimpin dari seluruh dunia menyertai majlis perarakan di sepanjang bandar raya Paris semalam bagi mengenang serangan bersenjata yang menyebabkan 17 individu terbunuh.
Perarakan yang disifatkan sebagai perhimpunan perpaduan itu antaranya disertai oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang turut serta memberikan penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terbunuh dalam kejadian yang turut mengorbankan keturunan Yahudi dan seorang pegawai polis beragama Islam.
Turut serta dalam perhimpunan itu ialah Canselor Jerman, Angela Merkel; Perdana Menteri Britain, David Cameron; Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, manakala Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama diwakili oleh Peguam Negara, Eric Holder.
Kawalan keselamatan dalam pada itu dipertingkatkan semasa perhimpunan berkenaan yang dianjurkan ekoran serangan ke atas pejabat akhbar satira mingguan, Charlie Hebdo dan sebuah pasar raya Yahudi dengan kerahan beribu-ribu anggota tentera tambahan dan polis di sepanjang laluan perarakan.
“Ratusan ribu penduduk di Perancis berkumpul untuk menyatakan perasaan cinta mereka terhadap kebebasan dan persaudaraan,” kata Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls dalam ucapannya semasa perhimpunan berkenaan.
“Pertarungan sebenar ialah pertarungan mempertahankan kebebasan berfikir,” kata seorang peserta perarakan, Yamina, 40, yang ditemui dengan linangan air mata sewaktu menyertai perarakan itu.
Serangan ke atas pejabat akhbar Charlie Hebdo itu turut mengorbankan tiga kartunis terbaik Perancis serta ketua editor akhbar yang pernah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad.
Dalam drama serangan bermula Rabu lalu, tiga lelaki bersenjata yang mendakwa anggota kumpulan Al-Qaeda berpangkalan di Yemen turut ditembak mati oleh pasukan keselamatan.
Ekoran serangan itu, kumpulan rangkaian Al-Qaeda iaitu Harith al-Nadhari pula mengeluarkan amaran kepada Perancis bahawa serangan baharu akan dilancarkan jika negara itu secara berterusan menindas orang Islam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3OYg2G4dq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment