Sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott memohon pengampunan secara peribadi bagi pihak dua anggota kumpulan Bali Nine yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Denpasar, Bali selepas mereka didapati bersalah cuba menyeludup lapan kilogram dadah jenis heroin ke Australia pada 2005.
Namun, Jokowi berikrar untuk meneruskan hukuman tersebut sebagai tindakan tegas Indonesia terhadap penyeludup dadah, selepas hukuman mati di republik ini dikuat kuasakan semula pada 2013.
“Bayangkan, setiap hari seramai 50 orang mati kerana dadah, dalam masa setahun seramai 18,000 orang maut kerana ketagihan (dadah).
“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap pengedar dadah,” jelas Jokowi kepada agensi berita, CNN.
Abbott berkata, dua pesalah berkenaan, Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31, menunjukkan sikap yang baik dan banyak membantu yang lain semasa ditahan di dalam penjara, serta me­negaskan bahawa Australia menentang hukuman mati.
Ketika ditanya tentang pengampunan kepada dua pesalah Australia terbabit, Jokowi hanya menggelengkan kepala.
Jokowi berkata, keputusan selanjutnya diserahkan kepada mah­kamah.
“Pesalah boleh memohon peng­ampunan kepada Presiden tetapi tiada pengampunan akan diberi kepada pengedar dadah,” jelasnya.
Setakat ini, tarikh pelaksanaan hukuman mati ke atas kedua-dua pesalah itu masih belum diketahui. – REUTERS