Sunday, January 18, 2015

Kerajaan Akan Terus Rayu Tambah Kuota Jemaah Haji - Jamir Khir


Diterbitkan: Ahad, 18 Januari 2015 11:29 AM

ALOR SETAR: Kerajaan akan terus merayu kepada kerajaanArab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji bagi rakyat negara ini sebanyak 10,000 pada tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sejak projek pembesaran Masjidil Haram dilaksanakan, kuota jemaah haji Malaysia telah dikurangkan sebanyak 20 peratus daripada kuota jemaah haji yang sebenar setiap tahun.

"Kerajaan akan terus merayu dengan kerajaan Arab Saudi untuk memberikan kuota (jemaah haji) tambahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-31 di sini, Sabtu malam.

Kuota haji Malaysia tahun lepas ialah sebanyak 22,320 orang.

Katanya, kerajaan dan Tabung Haji (TH) mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan rayuan menambah kuota haji kepada kerajaan Arab Saudi termasuk dalam mesyuarat haji yang bakal diadakan Mac depan serta menerusi pasukan TH yang berada di Makkah dan Madinah sepanjang tahun.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 1.6 juta rakyat Malaysia yang telah mendaftar dengan TH untuk menunaikan ibadah haji dan tempoh menunggu adalah terlalu lama.

"Tempoh menunggu itu boleh mencecah 67 tahun," katanya menambah kerajaan Indonesia juga merayu kepada Arab Saudi berikutan tempoh menunggu jemaah haji negara itu juga lama.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan sistem Kad Tauliah Mengajar Haji bagi memastikan hanya pembimbing haji bertauliah dan diiktiraf TH serta penyampai yang berkualiti boleh memberikan ceramah haji dan umrah.

Ia akan memudahkan kawalan dan penyelarasan hukum-hakam supaya tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan Resolusi Muzakarah Haji, katanya.

Menurut beliau pemegang kad tauliah berkenaan perlu memperbaharui kad setiap tahun selepas melalui beberapa proses bagi memastikan mereka mematuhi kriteria ketat yang ditetapkan TH.

No comments:

Post a Comment