Sunday, January 18, 2015

Rosmah lawat mangsa banjir di Gua Musang

AHAD, 18 JANUARI 2015 @ 2:57 PM

 
GUA MUSANG: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meluangkan masa melawat mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua pusat penempatan sementara di sini.

Beliau tiba kira-kira 12 tengah hari di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Taman Etnobotani di sini yang menempatkan 35 keluarga.

Selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit, Rosmah seterusnya melawat kem sementara di Bandar Utama yang menempatkan 97 keluarga yang terletak kira-kira10 kilometer dari kem sebelum itu.

Seramai 608 mangsa banjir masih ditempatkan di dua pusat penempatan sementara itu.


Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal Dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) turut menyerahkan sumbangan sebanyak 1,500 bungkusan bantuan berupa barangan keperluan harian dan makanan.

Rosmah serta rombongannya seterusnya bertolak ke Kuala Krai dan dijangka menamatkan lawatannya ke Kelantan di Tanah Merah petang ini. Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Galas, Abd Aziz Yusoff dalam ucapannya di kem PLKN menganggap banjir di Kelantan, terutama di Gua Musang adalah luar biasa.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment