Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA - "Kalau kerajaan perlu memotong hutang ataupun perbelanjaan, perkara pertama yang perlu dibuat ialah memotong peruntukan yang diberikan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak)  iaitu peruntukan bebas PM yang tidak menyentuh kepada mana-mana projek,".

Demikian reaksi Naib Presiden PKR,  Rafizi Ramli mengenai pembentangan unjuran semasa keadaan ekonomi negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Putrajaya hari ini.

Namun, sebaliknya, perkara penting itu langsung tidak disentuh oleh Perdana Menteri.

"Tiada  pengumuman yang dibuat oleh PM mengenai perkara ini.

"Sepatutnya pemotongan peruntukan kepada PM menjadi perkara pertama yang perlu dilakukan oleh beliau dalam pembentangan tersebut," katanya ketika sidang medianya di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Jelas Rafizi lagi, oleh itu beliau melihat perdana menteri tiada keseriusan daripada aspek 'kehendak politik' untuk mengawal perbelanjaan kerajaan.

"Oleh itu pengumuman ini tidak menampakkan kesungguhan kerajaan untuk meneliti  perkara sebenar yang menggugat kewangan kerajaan," katanya.

Ulasnya penangguhan Program Latihan  Khidmat Negara (PLKN) yang diumumkan Perdana Menteri tidak menjawab soalan pokok kepada permasalahan kewangan negara sebaliknya penjimatan tersebut hanya 'penyelesaian  kecil' sahaja.

"Pengumuman  yang dibuat beliau hanyalah menyentuh beberapa isu kecil dan tidak menyentuh perkara-perkara pokok yang lain.

"Isu perbelanjaan negara dan kejatuhan matawang RM tidak disentuh, namun beliau sentuh  mengenai PLKN, yang dilihat terlalu 'kecil' isunya," katanya.

Pagi tadi, Najib membentangkan unjuran kewangan semasa ekonomi negara.