Presiden Ukraine, Petro Poroshenko mengarahkan tentera untuk menghormati gencatan senjata yang berkuatkuasa pada 10 malam waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia), sejajar dengan perjanjian yang dicapai di Minsk awal ming­gu ini yang turut melibatkan pemimpin Rusia, Jerman dan Perancis.
Sumber memberitahu bahawa tiada pertempuran baharu dilaporkan di timur Ukraine selepas gencatan senjata itu berkuat kuasa.
Bagaimanapun, jurucakap ten­tera Ukraine, Anatoly Stelmach mendakwa pemberontak pro-Rusia mengebom kedudukan Ukraine dalam 10 serangan berasingan sejak gencatan senjata dikuatkuasakan.
“Pada pagi 15 Februari, seba­nyak 10 kawasan kami diserang oleh pemberontak, terutamanya di bahagian Debaltseve,” jelas Stelmach.
Saksi memberitahu bahawa mereka terdengar bunyi serang­an bom yang kuat dari Debaltseve, hub pengangkutan utama selatan Ukraine yang sering menjadi ­sasaran serangan kumpulan pemberontak.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Negara AS, John ­Kerry menerusi satu panggilan te­lefon dengan Menteri Luar Rusia, 
Sergei Lavrov menekankan tentang kepentingan penguatkuasaan ‘sepenuhnya’ perjanjian damai dan gencatan senjata.
“Kerry turut melahirkan kebimbangannya dengan pertempuran yang berlaku di sekitar Debaltseve dan usaha Rusia bersama kumpulan pemberontak menawan beberapa buah bandar sebelum gencatan senjata berkuatkuasa,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS.  AFP/REUTERS