Menurut laporan portal berita Tribun, pelancaran kempen itu 
bermula dengan persembahan muzik akustik yang mempunyai kaitan dengan penolakan sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih yang merupakan budaya Barat.
Selain itu, sekumpulan pelajar yang memakai kostum hantu turut mengadakan persembahan teater bagi menjelaskan kepada golongan remaja tentang bahaya budaya seks bebas yang kebiasaannya berlaku pada Hari Kekasih.
Isteri wakil rakyat Garut, Hani Firdiani yang turut hadir pada majlis itu, berkata, walaupun budaya menyambut Hari Valentine tidak terlalu ketara di daerah ini, kempen tersebut merupakan cara terbaik bagi mengekang pengaruh Barat dalam kalangan remaja.
Jelas beliau, Hari Kekasih boleh menjadi pencetus gejala pergaulan bebas sehingga berakhir dengan aktiviti seks bebas, sekali gus mengundang penyebaran penyakit berbahaya seperti HIV.
“Ancaman perkembangan budaya Barat di Garut sangat tinggi dan kempen yang bersifat positif seperti ini perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan budaya masyarakat setempat,” katanya.
Seorang peserta kempen itu, Diah Fasha berkata, sambutan Hari Valentine boleh menimbulkan perkara negatif dan merugikan.
“Lebih baik kehidupan berjalan seperti biasa dan menumpukan perhatian pada pelajaran,” katanya.
Seorang lagi peserta, Rafly Utama berkata, umat Islam tidak wajar menyambut Hari Valentine kerana ia bukan budaya Islam, selain ia boleh menjurus kepada perbuatan buruk dan maksiat.
“Jika sambutan ini dibuat secara meluas, ia boleh membahayakan generasi muda sehingga menyebabkan mereka terjerumus dalam gejala pergaulan dan seks bebas,” katanya.