Harapan untuk Myuran Sukumaran dan Andrew Chan terlepas daripada hukuman mati kembali bersinar selepas Abbott menghubungi Jokowi bagi membincangkan isu itu yang dilihat mengeruhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Menurut Abbott, perbincangan melalui telefon itu menunjukkan petanda positif selepas rayuan mendapatkan keampunan Presiden Indonesia menemukan kegagalan apabila Jokowi dan pihak mahkamah menolak usaha tersebut.
“Hakikatnya adalah, saya dan Jokowi boleh berterus-terang tentang isu tersebut, sekali gus menunjukkan kekuatan hubungan antara Australia dan Indonesia.
“Jokowi memahami pendirian Australia dan saya rasa beliau sedang menimbangkan semula pendiriannya dengan berhati-hati berhubung isu terbabit,” kata Abbott.
Sukumaran dan Chan dikenakan hukuman mati selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin untuk sindiket bergelar Bali Nine apabila ditahan pada 2005.
Awal minggu ini, Jokowi menegaskan bahawa negara luar tidak perlu mencampuri urusan dalaman Indonesia untuk melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah kes dadah.
Meskipun terdapat petanda positif berhubung isu itu, Abbott mengakui beliau tidak meletakkan sepenuh harapan untuk menyelamatkan dua rakyatnya, tetapi menyifatkan Presiden Indonesia itu sebagai seorang kawan.
“Saya tidak mahu menaruh harapan yang mungkin boleh menghampakan kita, tetapi mahu memastikan keputusan yang lebih berperikemanusiaan diambil oleh Indonesia atau Jokowi.
“Saya bercakap untuk rakyat Australia dan kepentingan negara ini, tetapi saya perlu menghormati dan mempertahankan hubungan baik Canberra dengan Jakarta,” kata beliau. – AFP