Wednesday, February 18, 2015

Nepal Ubah Laluan Pendakian Ke Gunung Everest


Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 3:13 PM
Pemandangan Pergunungan Everest yang terletak di Banjaran Himalaya, Nepal. Ia adalah gunung paling tinggi di dunia.

KATHMANDU: Laluan pendakian yang selama ini digunakan oleh para pendaki Gunung Everest akan ditukar mulai bulan depan untuk mengelak risiko kemalangan maut akibat runtuhan salji.
BBC melaporkan, Kerajaan Nepal tidak mahu kemalangan maut tahun lalu yang menyaksikan 16 pendaki terkorban akibat runtuhan salji, berulang lagi.
Ia adalah kemalangan maut paling tinggi dalam sejarah pendakian gunung tertinggi di dunia itu.
Laluan pada masa ini adalah yang digunapakai sejak 1990-an.
Mulai bulan depan, para pendaki akan menggunakan laluan tengah selepas khemah induk dan tidak lagi laluan sebelah kiri Khumbu Icefall, yang mana insiden runtuhan salji mengorbankan 16 pendaki tahun lalu berlaku.
Sejak kemalangan maut itu, para Sherpa yang bertanggungjawab sebagai jurupandu telah memboikot ekspedisi Everest sekaligus menyaksikan beberapa ekspedisi lain lagi terpaksa dibatalkan.
BBC memetik pengerusi Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha (Everest) Ang Dorji Sherpa sebagai berkata yang pihaknya perlu memikirkan risiko runtuhan salji di kawasan sebelah kiri Khumbu Icefall yang semakin ketara dan mengenalpasti kawasan pendakian lama di laluan tengah selepas khemah induk yang kelihatan tidak memberikan ancaman tersebut.
Jawatankuasa yang diterajui oleh Ang Dorji Sherpa diberi kuasa oleh Kerajaan Nepal untuk menentukan laluan pendakian pergunungan Everest.
Katanya, tali dan tangga baru telah ditempatkan di laluan baru itu untuk kegunaan para pendaki.
Laluan tengah itu sebenarnya bukanlah laluan baru kerana ia sememangnya telah digunapakai dua dekad yang lalu oleh para pendaki tetapi kemudiannya ditinggalkan setelah laluan baru di sebelah kiri Khumbu Icefall dibuka kerana jarak pendakiannya yang lebih pendek dan juga mudah didaki walaupun oleh pendaki amatur.
"Memang tidak dapat dinafikan laluan tengah ini sedikit sukar dan mengambil masa yang lebih lama tetapi secara relatifnya bebas dari sebarang ancaman salji runtuh," tegas Ang Dorji Sherpa.
Fakta menunjukkan 40 orang pendaki, kebanyakkannya tenaga sokongan untuk pasukan ekspedisi telah meninggal dunia ketika sedang mendaki laluan kiri Khumbu Icefall.
Keseluruhannya 250 orang pendaki telah menemui ajal cuba mendaki Gunung Everest sejak percubaan pertama pada 1953.

No comments:

Post a Comment