Monday, March 2, 2015

AS mahu hantar pulang 150 imigran Bosnia



AGENSI - KUBUR besar yang menempatkan mangsa pembunuhan beramai-ramai di Bosnia menjadi bukti kekejaman dalam sejarah perang Bosnia-Serbia.


WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) telah mengenal pasti 300 imigran dari Bosnia yang dipercayai menyorokkan penglibatan mereka dalam kekejaman ketika perang di negara itu termasuk pembunuhan beramai-ramai di bandar Srebrenica pada 1995.
Kerajaan AS kini sedang cuba menghantar pulang sekurang-kurangnya 150 da­ripada suspek yang dikenal pasti itu, lapor akhbar The New York Times kelmarin. Bilangan suspek penjenayah perang itu juga mungkin melangkaui 600 orang berikutan semakin banyak rekod lama diterima dari Bosnia.
Kumpulan imigran itu merupakan sebahagian daripada pelarian yang me­ninggalkan Bosnia selepas peperangan meletus pada 1992 berikutan keruntuhan wilayah Yugoslavia.
“Semakin dalam kami selidik, semakin banyak dokumen yang ditemui,” kata pakar sejarah Penguat kuasa Kastam dan Imigresen, Michael MacQueen.
Ramai dalam kalangan suspek tersebut merupakan bekas tentera selain menjadi jurulatih bola sepak di Virginia, pekerja kimpalan besi di Ohio dan empat pekerja di kasino Las Vegas. Ada juga di antara suspek telah mendapat taraf kerakyatan negara ini, lapor akhbar tersebut.
Bukti sedia ada menunjukkan separuh daripada 300 suspek itu mungkin telah memainkan peranan dalam pembunuhan beramai-ramai Srebrenica di mana 8,000 lelaki dewasa dan kanak-kanak dibunuh tentera Serbia.
Pembunuhan itu berlaku dalam tempoh lima hari pada 1995 menjelang penghujung peperangan yang meragut lebih 100,000 nyawa penduduk Bosnia di bawah polisi pembersihan etnik pasukan pimpinan Komander Tentera Serbia, Ratko Mladic bagi membentuk negara Serbia tulen.
Bagaimanapun, peguam Thomas M. Hoidal yang mewakili 12 suspek di Arizona yang berdepan tindakan dihantar pulang, mendakwa anak guamnya dikaitkan hanya berdasarkan rekod mereka pernah menjadi tentera Serbia. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3TB7ZV6P3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment