Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang menyiasat punca nahas tersebut, mengeluarkan kenya­taan tersebut sebagai menafikan laporan rangkaian berita tem­patan, RTL yang mendakwa pesawat MH17 ditembak jatuh menggunakan senjata buatan Rusia itu.
“Siasatan punca kejadian masih dijalankan secara terperinci dan memberi tumpuan kepada banyak sumber lain berbanding sekeping serpihan.
“Bahan tambahan bagi membantu siasatan sangat dialu-alukan, tetapi apa yang penting bahan itu tidak boleh menimbulkan keraguan dan perlu mempunyai kaitan dengan nahas pesawat tersebut,” jelas DSB dalam kenyataannya.
Semalam, RTL mendakwa sekeping serpihan logam yang ditemukan oleh seorang wartawan Belanda di Kampung Grabovo beberapa bulan lalu, tidak jauh dari lokasi pesawat MH17 ditembak jatuh, merupakan bahan yang digunakan untuk roket BUK.
Awal bulan ini, media Ukraine membuat kesilapan apabila men­dakwa memetik kenyataan penyiasat Belanda yang menuduh Rusia terlibat dalam nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, kebanyakannya warga Belanda.
Malah dalam laporan media Ukraine, termasuk rangkaian televisyen utama seperti TSN dan akhbar harian, Segodnya, mendakwa pasukan penyiasat Belanda mencapai kesimpulan bahawa sistem pertahanan BUK digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17.
Terdahulu, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov menempelak laporan agensi berita Reuters yang memetik kenyataan saksi kejadian bahawa mereka melihat roket dilancarkan ketika pesawat Boeing itu ditembak jatuh.
Jelasnya, laporan itu cuba mengalihkan fakta dan mencetuskan pelbagai teori, sekali gus berniat buruk.
“Kenyataan saksi ternyata bercanggah antara satu sama lain, dan menimbulkan keraguan seperti cara roket meluncur, perbezaan peringkat roket dan asap berwarna biru.
“Bagaimana saksi boleh memberi maklumat tersebut, sedangkan mereka berada 25 kilometer dari lokasi kejadian, ditambah dengan cuaca mendung,” soal beliau.