Monday, March 23, 2015

Berani kerana benar untuk ALLAH


RIDHUAN TEE ABDULLAH
23 Mac 2015


“SAYA sokong pelaksanaan hudud kerana ALLAH, bukan kerana Umno”. Kata Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad ketika membahaskan hudud di Dun Kelantan. Membaca kenyataan ini air mata bergenang tanpa disedari.

Inilah negarawan sebenar. Umno perlu meramaikan orang sebegini, barulah boleh menang banyak kerusi. Meletakkan Islam mengatasi segala-gala. Berani kerana benar. Menilai yang benar itu benar, walaupun mungkin datang daripada lawan. Kenal siapa lawan itu boleh dijadikan kawan. Bezakan dengan musuh sebenar, ultra kiasu, penentang Islam.

Mungkin ada yang sinis dengan berkata, ini semua strategi politik Umno. Tetapi pada saya, bukan mudah untuk pemimpin Umno bersetuju dengan hudud. Jika bukan ALLAH yang mengatur segalanya.

Bukan seperti PKR. Mengaku Islam, tetapi menolak hukum hudud dengan pelbagai alasan, seperti masih belum lengkap, belum dibincang, tidak sesuai, kemiskinan masih berleluasa dan macam-macam lagi.

Biarlah orang kafir sahaja yang beranggapan sedemikian. Sebagai umat Islam, kita bersangka baik dahulu. Jika ada yang tidak kena, sama-samalah kita perbaiki. Sampai bila kita harus menunggu dan memberikan alasan, kemiskinan dan keadilan harus diberikan keutamaan.

Selama ini kita mengamalkan sistem demokrasi, adakah kemiskinan dan ketidakadilan dapat dihapuskan? Tidak juga. Justeru, kenapa tidak beri peluang untuk hukum Islam itu berjalan?

Jangan jadi seperti parti Gerakan, MCA (BN) dan ultra kiasu (PR). Awal-awal lagi sudah mengugut untuk keluar parti, jika ada parti Melayu yang menyokong hudud. Silakanlah berbuat demikian jika berani.

Adapun Gerakan dan MCA, tidak menguntungkan Umno. Malah Umno terpaksa mengorbankan kerusi majoriti kawasan Melayu untuk memberikan laluan kepada mereka. Siapa untung, siapa rugi?

Pendek kata, kemenangan Gerakan dan MCA, adalah kerana ihsan undi Melayu. Parti ini ternyata gagal memenangi hati Cina, kerana majoriti Cina mengundi ultra kiasu.

Namun, Gerakan dan MCA terus mendapat kerusi menteri dan timbalan, walaupun tidak layak. Inilah kelebihan muafakat BN. Sanggup korban Melayu, meski Melayu telah lama terkorban.

Sama ada ultra kiasu berada dalam BN atau PR, ultra kiasu tetap menang dan untung. Ultra kiasu tetap menang. Bersatu dalam senyap. Kita sahaja yang tertipu. Kalau tak percaya, cuba usik SJKC, seperti untuk tambah pembelajaran BM, melompatlah mereka semuanya. Inikan pula hudud.

Sepatutnya ultra kiasu tidak perlu bising pun kerana tiada kaitan dengan mereka. Hudud adalah untuk orang Islam. Ultra kiasu berterima kasih kepada Islam, kerana dengan hikmah Islamlah, mereka dapat membina empayar hingga menjadi kaya-raya, sehingga Melayu ada yang merempat. Kenapa tidak bersyukur?

Jangan ingat, bila Islam dilaksanakan, keadaan akan menjadi lebih buruk. pelancong akan ketakutan. Lihatlah Brunei. Pelancong bertambah. Saya lihat di hotel mereka ada macam-macam manusia dari luar negara. Orang baik takkan takut dengan hudud, yang jahat sahaja terasa, takut kena.

Logiknya mudah, mereka mahu tahu cara hidup Islam. Mereka mahu merasai cendol, abuyat dan lain-lain makanan alam Melayu.

Saya amat hairan kenapa parti ultra kiasu dibenarkan beroperasi di Sarawak. Parti ini bukan sahaja perosak Islam malah menggugat keharmonian di sana. Hasutan demi hasutan sedang berjalan, nak bawa Sarawak keluar dari Malaysialah. Umat Islam yang faham Islam, tidak akan melakukan sedemikian.

Lebih menghairankan lagi, Ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu begitu marah dengan saya kerana artikel saya yang sering mensasarkan ultra kiasu. Saya dituduh lebih Melayu dari Melayu, menghina kaum sendiri dan sebagainya. Menjauhkan bukan Islam dari Islam.

Saya hanya melondehkan kebobrokan ultra kiasu yang menjadi musuh kepada Islam. Saya tidak merujuk semua orang Cina itu ultra kiasu. Tetapi saya merujuk kepada semua bangsa, yang menentang Islam dan Perlembagaan negara.

Hari ini terbukti apabila menentang hudud yang dibawa oleh Pas sendiri. Kenapa ahli parlimen tersebut berdiam diri? Apa beliau buat apabila Islam dipijak dan dihina ultra kiasu?

Terus-terang, saya amat bangga dengan kerajaan Brunei, ketika ultra kiasu seluruh dunia, mengutuk dan mengejinya kerana melaksanakan Islam, rakyatnya bersatu hati mempertahankan tindakan pemimpin mereka.

Pesanan Sultan Brunei, “Siapakah kita di hadapan ALLAH untuk berkata TIDAK atau TUNGGU DULU sedang undang-undang itu bukanlah baru digubal tetapi telah termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis semenjak dari 1400 tahun lebih lagi.

Apabila undang-undang syariah terlaksana maka barulah bumi yang permai ini dapat diungkap sebagai “Baldatun Thayyibatunwa Rabbun Ghafur” iaitu Negeri Yang Baik dan Tuhan Maha Pengasih”.

Sejak syariat Islam dilaksanakan, belum ada lagi orang yang dipotong tangan. Bukan Islam terus membina empayar. Inilah hebatnya Islam. Bersatulah wahai umatku sebelum terlambat.

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UniSZA

No comments:

Post a Comment