Saturday, March 14, 2015

Samseng dalam UMNO perlu dihapuskan - Najib



Oleh Adha Ghazali

NAJIB bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyaksikan persembahan silat ketika hadir merasmikan Konvensyen Umno Kedah di Hotel TH,Titi Gajah. - Foto Amran Hamid
ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Razak mahu golongan yang digambarkan sebagai 'jemuan', dalam loghat utara membawa maksud samseng atau individu tidak berapa elok perangainya, dihapuskan dalam UMNO.
Saranan itu disuarakan Presiden UMNO itu di hadapan 1,200 perwakilan Konvensyen UMNO Kedah 2014 yang berlangsung di TH Hotel & Convention Centre, di sini, mengambil kira sikap jemuan yang dianggap berisiko menjejaskan peluang parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Jemuan ini perangainya lebih teruk dari tukang kipas... dia dok keliling dan mengadu domba.. perselisihan faham hak kecil pun dia dok perbesar sehingga menggugat kesepakatan kita.
"Saya percaya kalau tak ada jemuan-jemuan ini, pasti UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menang semula di negeri ini (dalam PRU-14)," katanya.
Terdahulu, beliau turut meminta supaya jemuan yang merosakkan parti ini dicari dan ketika bertanya sama ada jemuan wujud dalam UMNO Kedah, para perwakilan beramai-ramai menyahut 'ada'.
Sementara itu, Najib ketika berucap menggesa UMNO Kedah tidak terlalu bersikap selesa dengan kemenangan dicapai dalam PRU-13 lalu, kerana kemenangan dicapai di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) rata-ratanya masih kecil majoritinya.
Justeru, beliau menggesa UMNO Kedah meneliti kepada faktor penolak dan penarik dalam menganalisis keputusan PRU-13 lalu sebagai panduan untuk memastikan bukan saja kemenangan parti dalam PRU-14 dikekalkan, tetapi dapat dipertingkatkan jumlah majoritinya.
Dalam PRU-13 lalu, BN Kedah menang di 10 daripada 15 kerusi Parlimen, manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, BN menang 21 daripada 36 kerusi.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, ketika berucap menggesa semua perwakilan mengutamakan aspek kesepakatan yang menjadi teras utama kepada kejayaan parti mengambil alih semula pentadbiran negeri daripada PAS Kedah dalam PRU-13 lalu.

No comments:

Post a Comment