Friday, March 20, 2015

"Saya Tak Marah Mereka Desak Letak Jawatan" - KPN


Diterbitkan: Jumaat, 20 Mac 2015 1:55 PM
Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Tindakan gabungan #KitaLawan merancang menganjurkan kempen 'Pecat IGP' selama seminggu bermula Sabtu tidak menimbulkan kemarahan buat Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ketua Polis Negara berkata, atas nama kebebasan bersuara, penganjur bebas mengadakan sebarang kempen atau perhimpunan, dengan syarat ia dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang.
"Berbalik kepada hak kebebasan bersuara, dalam mereka mempraktiskannya, pastikan undang-undang dipatuhi.
"Tak kiralah (tujuan) mereka nak suruh IGP letak jawatan atau apa saja, tapi sebarang perhimpunan ada peraturannya, ada undang-undang yang mengawal semua itu," katanya selepas mengadakan wawacara khas sempena Hari Polis Ke-208 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Jumaat.
Menurut Khalid, setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara, termasuklah hak untuk mendesak beliau melepaskan jawatan tertinggi yang dipegang dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Namun, beliau menegaskan sekiranya perhimpunan atau kempen itu didapati melanggar undang-undang, tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
"Saya tak marah mereka nak desak saya letak jawatan, itu hak merekalah.
"Kalau mereka suka nak suruh saya letak jawatan, itu pandai merekalah...pastikan cara mereka bersuara itu dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan.
"Kalau mereka tak patuhi peraturan dan undang-undang, tunggulah tindakan kita akan ambil," katanya.
Katanya, antara yang dianggap sebagai kesalahan dan melanggar undang-undang termasuklah tidak mendapat kebenaran daripada 'tuan tempat' kempen itu akan diadakan.
Pada Khamis, penganjur perhimpunan #KitaLawan merancang mengadakan kempen selama seminggu di Dataran Merdeka sebagai tanda tidak puas hati dan kecewa dengan tindakan polis yang melakukan beberapa siri penahanan terhadap aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pimpinan Pakatan Rakyat.
Mengikut perancangan, kempen akan bermula dengan perhimpunan aman di Sogo, pada 21 Mac, diikuti kempen duduk bantah di Dataran Merdeka yang akan ditamatkan di Sogo pada 28 Mac.

No comments:

Post a Comment