Friday, March 13, 2015

Shafee peroleh injuksi halang Majlis Peguam bincang kelakuannya


Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini berjaya menghalang Majlis Peguam daripada mengemukakan usul mengenai kelakuannya berhubung rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu esok.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad membenarkan injunksi interim ex-parte kepada Muhammad Shafee bagi menghalang Majlis Peguam atau presidennya Christopher Leong atau melalui ejen mereka daripada membenarkan usul itu dikemukakan, dibincang atau diluluskan semasa AGM atau membincangkan apa-apa perkara berkaitan kelakuan Muhammad Shafee dalam rayuan oleh Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 14 Mac 2015 atau mana-mana tarikh lain selepas itu.
Hakim juga membenarkan injunksi interim ex-parte Muhammad Shafee menghalang peguam Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V. C. George atau melalui ejen-ejen mereka daripada mengemukakan usul bertajuk "Usul terhadap Shafee Abdullah bertarikh 28 Feb, 2015" atau usul yang serupa pada AGM ke-69 Majlis Peguam, pada 14 Mac atau pada mana-mana tarikh lain kemudian.
Hakim Asmabi mengeluarkan perintah injunksi itu selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican yang mewakili Muhammad Shafee.
Mahkamah menetapkan 27 Mac untuk mendengar permohonan bagi injunksi inter-parte.
Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara fiat (kebenaran) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan pendakwaan dalam kes liwat itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Ketika ditanya mengenai usul itu esok, naib presiden Majlis Peguam Steven Thiru berkata badan itu tidak boleh memberi komen secara rasmi mengenai perkara itu untuk didengar oleh mahkamah kerana ia pada dasarnya adalah mesyuarat dalaman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment