Friday, March 13, 2015

Zul Nordin buat laporan polis berhubung kenyataan Nurul Izzah



DATUK Zulkifli, (tengah) ditemu ramah oleh wartawan ketika membuat laporan mengenai kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbau hasutan mengenai keputusan kes liwat II membabitkan ayahnya, Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. - FotoSTP/Azhar Ramli
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin sebentar tadi membuat laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempertikai penghakiman dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan kes liwat bapanya pada 10 Februari lalu.
Zulkifli yang lebih dikenali sebagai Zul Nordin berkata, beliau percaya kenyataan Nurul Izzah itu bukan sahaja menghina dan mencerca hakim berkenaan malah ia juga suatu kenyataan 'highly contemptuous'.
Katanya, kenyataan anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga berbaur hasutan kerana boleh menyebabkan rakyat mempertikaikan kredibiliti dan memandang hina hakim mahkamah terbabit.
Antara tuduhan dilemparkan Nurul Izzah ialah hakim berkenaan dituduh tunduk dan akur kepada tuan-tuan politik, menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman; menjual diri kepada syaitan; memperdagangkan nurani demi pulangan kebendaan; kedudukan dan jaminan jawatan.
"Saya percaya kenyataan Nurul Izzah itu tidak dilindungi oleh kekebalan Ahli Parlimen seperti diperuntukkan mengikut Perkara 63 Fasa (2) Perlembagaan Persekutuan.
"Justeru saya memohon polis menjalankan siasatan terhadap Nurul Izzah kerana mengeluarkan kenyataan berbau hasutan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

No comments:

Post a Comment