Susilo Bambang Yudhoyono
Susilo
SINGAPURA - Bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyeru negara anggota Asean agar lebih tegas bagi menjadikan kumpulan itu lebih berdaya tahan untuk menghadapi anjakan kuasa global.
  
"Asean mesti perlu menjadi lebih tegas sebagai entiti geopolitik dan geoekonomi. Bagi setiap negara anggota Asean, Asean perlu menjadi bulatan dalaman pertama pada polisi luarnya.
  
"Keupayaan kita untuk mengekal ketegasan akan menjadikan Asean lebih berdaya tahan dalam menghadapi anjakan kuasa global, yang kita berharap akan lancar dan aman tetapi pada realitinya mungkin bergelora," katanya dalam ucapan penerimaan selepas dianugerah Anugerah Felo Kehormat Ulung oleh Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS).
  
Upacara diadakan di institut berkenaan di sini yang dihadiri lebih 150 tetamu termasuk Menteri Komunikasi dan Maklumat serta Menteri Hal Ehwal Agama Islam Singapura, Prof Madya Dr Yaacob Ibrahim.  
  
Semasa menyampaikan anugerah itu, Pengerusi Lembaga Amanah ISEAS, Prof Wang Gungwu berkata: "Kita semua menyedari mengenai apa yang beliau capai semasa menjadi presiden Republik Indonesia, terutamanya kita berkongsi kebanggaan rakyat Indonesia dalam kejayaannya membina kedudukan antarabangsa Indonesia".
  
Susilo yang merupakan penerima kedua Anugerah Felo Kehormat Ulung institut itu menilai anjakan kuasa global antara Amerika Syarikat dan China serta peningkatan kemunculan kuasa ekonomi lain.
  
Melihat bahawa Masyarakat Asean bakal muncul selepas Disember tahun ini, beliau berkata kerja keras adalah perlu bagi memastikan Asean 'kuat di puncaknya dan padu di bawahnya'. - Bernama