PARIS - PERANCIS. Gara-gara mengeluarkan kenyataan provokasi anti-Islam di laman Twitter, seorang datuk bandar di Perancis menerima padah digantung tugas.

Kelmarin, akhbar The Independent melaporkan Datuk Bandar Venelles, Robert Chardon mendesak kerajaan mengharamkan Islam di negara itu dan mana-mana individu yang beragama Islam juga wajar dihantar ke sempadan.

Dalam satu kenyataan lain, Chardon turut mendakwa kononnya Islam akan diharamkan di negara itu menjelang 2027.

Susulan daripada itu, bekas Presiden, Nicolas Sarkozy bertindak mengkritik kenyataan biadab beliau.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Chardon dan beliau wajar menerima hukuman ini kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal. Perbuatannya telah memberi imej buruk kepada Parti Gerakan Popular Perpaduan (UMP)," tegasnya. - Press TV