Baru-baru ini, akhbar mingguan The Economist melaporkan, rahsia di sebalik kejayaan Belanda sebagai negara paling gembira di dunia dipercayai disebabkan struktur pekerjaan di negara itu yang lebih fleksibel dan tidak membebankan.
Laporan berkenaan menyebut, berdasarkan statistik, sebanyak 26.8 peratus lelaki dan 76.6 peratus wanita Belanda menghabiskan waktu bekerja kurang daripada 36 jam seminggu atau secara purata­nya kira-kira lima jam sehari.
Jelas laporan itu, keadaan terbabit menunjukkan bahawa jumlah pendapatan isi rumah bukan faktor utama kebahagiaan rakyat Belanda sebaliknya, struktur pekerjaan mereka selain mengekalkan tradisi untuk lebih meluangkan masa di rumah bersama keluarga.
“Undang-undang Belanda juga menetapkan bahawa wanita mempunyai hak untuk mengurangkan waktu bekerja tanpa memerlukan kelulusan daripada majikan,” tambah laporan itu.
Belanda turut menduduki carta teratas 28 negara Eropah dalam ranking penduduk yang mempunyai lebih masa untuk melakukan senaman fizikal, sekali gus dipercayai mempunyai kaitan dengan peningkatan tahap kegembiraan mereka.
Statistik berkenaan dikeluarkan oleh Yayasan Jantung Britain yang menunjukkan peratusan tinggi penduduk Belanda melakukan se­naman iaitu secara purata sekurang-kurangnya empat hari dalam tempoh seminggu.
Walaupun disebut sebagai spekulasi bahawa penduduk Belanda mempunyai lebih masa untuk bersenam disebabkan waktu kerja yang kurang, negara berkenaan secara konsisten dipilih sebagai negara paling gembira berdasarkan kajian dan statistik.