Khalid Abu Bakar
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beberapa pegawainya akan ke Ibu Pejabat Tabung Haji melakukan pemeriksaan ke atas dokumen berkaitan.
“Apa juga maklumat yang kita terima, kita akan siasat.
“Malah, Jumaat lalu kita juga sudah bermesyuarat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan siasatan berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi wawancara bersama program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 berhubung Kolaborasi Kreatif Angkatan Tentera Malaysiaa (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Seri Pentas di sini hari ini.
Khalid berkata, siasatan tersebut bertujuan mengenal pasti kemungkinan wujud unsur penyelewengan dan juga pelanggaran tertib oleh Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat Tabung Haji mengikut Akta Syarikat.
“Selain itu, polis turut menumpukan siasatan terhadap kebocoran maklumat rasmi kerajaan melibatkan agensi Tabung Haji,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, pihaknya juga masih menunggu laporan audit daripada Jabatan Audit Negara kerana tidak mahu ada pertindihan siasatan.
“Tuduhan mengatakan kita tidak menyiasat itu tidak benar. Kami tidak boleh mendedahkan kepada semua mengenai siasatan yang dijalankan.
“Apabila sampai masanya untuk perkara ini dimaklumkan kita akan maklumkan,” ujarnya.
Tambahnya, polis setakat ini menerima dua laporan yang ma­sing-masing daripada pengurusan Tabung Haji dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung kes tersebut.