Seorang lelaki menyewa kren, semata-mata untuk menemui isterinya yang baharu melahirkan anak pertama mereka di sebuah hospital di Kiev, baru-baru ini. AGENSI
Mail Online melaporkan, lelaki yang tidak diketahui identitinya itu mengarahkan pemandu kren itu untuk membawanya ke bahagian tingkap hospital berkenaan bagi membolehkan dia menemui isterinya.
Mengikut adat resam penduduk Ukraine, bapa yang pertama kali menimang cahaya mata tidak dibenarkan berjumpa isteri dan bayinya, sehingga mereka dibenarkan keluar dari hospital bagi mengelak terkena nasib malang.
Saksi yang dikenali sebagai Elena Trashkun berkata, dia terserempak dengan insiden yang menyentuh hati itu secara tidak sengaja kerana kebetulan melalui kawasan di mana lelaki tersebut berada dan sempat merakamkan peristiwa itu.
“Saya melihat seorang lelaki mengucapkan tahniah kepada isteri­nya dengan memberi ciuman dan sejambak bunga.
“Undang-undang dan peraturan yang mengarut nampaknya tidak mampu menghalang lelaki itu memanjat dinding bangunan demi orang yang dicintainya,” jelas Trashkun.
Gambar yang sudah tersebar luas di laman sosial itu turut mendapat banyak komen positif daripada orang ramai yang kebanyakannya memuji sikap dan keberanian lelaki tersebut.