Yang Dipertua PSKLM, Datuk Ir. Zainudin A. Kadir berkata, pihak­nya berjanji untuk memberi komitmen yang tinggi menambah baik serta menyelenggara kemudahan lebuh raya sedia ada jika kadar tol dinaikkan.
Katanya, keperluan untuk kenaikan tol wujud bukan sahaja kerana ketetapan jadual berkala dalam perjanjian, tetapi supaya ahli PSKLM dapat memenuhi obligasi kewa­ngan serta memberikan perkhidmatan selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya.
“Kami percaya usaha ini boleh dilakukan tanpa menimbulkan implikasi bebanan kewangan kepada kerajaan atau kesemua rakyat.
“Ini terutamanya apabila pendekatan konsep ‘user pay’ diguna pakai, iaitu pengguna yang menggunakan kemudahan itu sahaja dikenakan bayaran, tanpa membabitkan mereka yang tidak menggunakan lebuh raya tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah portal yang bertajuk Kerajaan Belum Putuskan Kenaikan Tol pada 24 Jun lalu mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa Kabinet belum membuat sebarang keputusan mengenai kenaikan kadar tol.
Tambah Zainudin, pihaknya akan terus berusaha memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memberi nilai tambah dan penjimatan kepada pengguna lebuh raya.
“Antara inisiatif yang telah diperkenalkan adalah seperti pemberian rebat tol dan diskaun tol sempena musim perayaan.
“PSKLM akan terus berusaha memastikan syarikat-syarikat konsesi terus meningkatkan tahap perkhidmatan mereka kepada orang ramai dari semasa ke semasa selaras dengan kenaikan kadar tol,” katanya.