Menurut portal itu, pihaknya yakin bahawa tuduhan-tuduhan itu tidak benar menerusi pemeriksaan asas bukti yang dilakukan.
Sambil mengecam tuduhan tersebut, Sarawak Report turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan saman fitnah bertulis terhadap pihak yang terlibat.
“Mesej kami kepada mereka yang menuduh adalah dengan memeriksa fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan tuduhan. Kamu (mereka yang terlibat) perlu mula untuk berasa bimbang terhadap tindakan saman fitnah bertulis sekiranya kamu telah memfitnah kami atau lelaki yang tidak bersalah itu kini sudah berada di penjara,” kata portal tersebut hari ini.
‘Pembohongan’ mengenai isu 1MDB yang berulang kali dilapor­kan Sarawak Report dan kemudiannya dijadikan rujukan oleh pembangkang terbongkar selepas polis Thailand menahan Xavier Andre Justo atas tuduhan cuba memeras ugut syarikat PetroSaudi sebanyak AS$2.66 juta (RM10 juta).
Hasil siasatan ke atas warga Switzerland itu seterusnya mendapati sebahagian e-mel dan dokumen yang ‘bocor’ dan disiarkan Sarawak Report sebenarnya maklumat palsu yang telah dipinda terlebih dahulu.