Xavier Justo, 49, yang kini ditahan pihak berkuasa Thailand akan dihantar pulang ke negara asalnya itu dalam tempoh 90 hari.
Sumber polis Thailand memberitahu, semua dokumen bagi tujuan ekstradisi akan disiapkan selepas proses siasatan terhadapnya dilakukan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Diraja Thailand (RTP).
“Berdasarkan perjanjian ekstradisi antara kerajaan Thailand dengan Switzerland, seseorang suspek yang ditangkap di Thailand akan dihantar pulang dalam tempoh 90 hari.
“Bagaimanapun, proses ekstradisi berkenaan bergantung kepada permohonan melalui saluran rasmi. Setakat ini, kita sedang menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Luar untuk tujuan tersebut.
“Xavier Justo kini masih ditahan di lokap CSD di Bangkok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Xavier Justo ditahan CSD di sebuah rumah mewah dipercayai miliknya di Ban Bang Makham, Tambon Angthong di pulau peranginan terkenal Koh Samui, Surathani pada 22 Jun lalu.
Penahanan warga Switzerland itu dibuat selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut yang membabitkan wang 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta).
Xavier Justo dikatakan pernah menandatangani satu kontrak dengan syarikat itu agar tidak membocorkan maklumat sulit selain dibayar pampasan berjumlah lebih RM15 juta semasa dipecat kira-kira dua tahun lalu.
Berdasarkan siasatan, polis mendapati Xavier Justo berdendam dengan bekas majikannya. Ini kerana selepas tidak mendapat wang yang diminta berjumlah RM10 juta daripada PetroSaudi, dia telah membocorkan maklumat termasuk menokok tambah sebahagian maklumat kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.
Ditanya tentang tindakan yang akan dilakukan pihak berkuasa Thailand sekiranya Xavier Justo tidak diekstradisi, sumber itu memberitahu, bekas eksekutif terbabit akan berdepan dengan hukuman berat termasuk penjara dan harta­nya dirampas oleh kerajaan Thailand.
“Kemungkinan dia terlepas daripada kes ini agak tipis kerana polis mempunyai banyak bukti kukuh termasuk bantuan daripada pihak berkuasa negara jiran,” katanya.
Mengenai laporan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang menulis kepada Kementerian Luar Switzerland supaya menyiasat penahanan Xavier Justo oleh pihak berkuasa Thailand didakwa dibuat secara tidak sah, sumber itu menjelaskan, polis Thailand mempunyai bidang kuasa tersendiri dan setiap tindak-tanduk dilakukan sememangnya menepati undang-undang.
“Oleh itu, tuduhan bahawa kita dirasuah atau ditekan pihak tertentu supaya menangkap Xavier Justo sememangnya tidak berasas sama sekali. Malah, kita tidak berminat dengan pihak yang mahu mempolitikkan isu ini,” jelasnya.