JOHOR BAHRU - Sokongan rakyat kepada Umno dan BN buat masa ini sedikit terjejas berikutan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), kata Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
 
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, ini kerana pelbagai tohmahan dan tuduhan belum dijelaskan dan jawapan meyakinkan.
Nur Jazlan berkata, PAC cuba menjalankan siasatan bagi mendapatkan kebenaran.
 
“Saya harap siasatan PAC akan beri gambaran jelas dan telus kepada rakyat.
 
“Ini kerana rakyat keliru dengan keadaan politik negara,” katanya pada sidang media Program Kiriman Kad Hari Raya Aidilfitri Kepada Pengundi Muda Dalam Parlimen Pulai, semalam.
 
Nur Jazlan berkata, rakyat kini berdepan masalah untuk membuat keputusan berikutan keadaan semasa politik.
 
“Pembangkang juga menghadapi masalah dalaman parti.
 
“Kalau rakyat hendak buat keputusan meninggalkan BN atau tidak menyokong BN pun, mereka menghadapi masalah membuat keputusan yang mereka (sendiri) boleh yakin bahawa negara ini, akan bertambah baik, positif sekiranya mereka hendak menyokong pembangkang,” katanya.
 
Meskipun begitu, Nur Jazlan menegaskan kerajaan perlu menjelaskan isu-isu yang telah timbul supaya tohmahan berkaitan dengan penyelewengan serta salah laku dalam pelbagai isu terbabit akan dapat dijelaskan.
 
Mengulas mengenai cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dilantik menjadi Perdana Menteri sementara, beliau berkata, cadangan Ahli Parlimen Gelang Patah itu membuktikan hanya pemimpin Umno mampu menerajui negara.
 
“Saya rasa Kit Siang sekarang ini juga tidak yakin dengan PR memandangkan rakan kongsi dia iaitu PKR dengan Pas bermasalah.
 
“Sebab itu dia cadangkan pemimpin BN juga sebagai pengganti. Ini juga memberikan satu keyakinan kepada BN bahawa tiada pilihan lain yang rakyat boleh pilih melainkan BN,” katanya.

Terdahulu, Kit Siang mencadangkan supaya Tun Musa Hitam dilantik menjadi Perdana Menteri sementara, menunggu siasatan dilakukan terhadap AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang didakwa dipindahkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak.
 
Katanya sehingga kini Najib gagal menjawab beberapa persoalan mengenai dakwaan tersebut meskipun sudah seminggu isu berkenaan ditimbulkan akhbar luar negara, The Wall Street Journal (WSJ), iaitu pada 3 Julai lalu.