Monday, July 13, 2015

Sampai hatimu ayah...

Kepala Batas: Ibu masuk hospital kerana melahirkan anak, bapa pula menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun terpaksa menjadi ‘suri rumah’ menjaga lima adiknya yang masih kecil.
Walaupun menanggung tugas baru itu, namun Nurul Fitri Aina Salahul Bakri tetap ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Indah tidak jauh dari rumahnya manakala urusan menjaga adik-adik diserahkan sementara kepada saudara dan jiran sehingga pulang dari sekolah.
Ibunya, Norhayati Md Noh, 40, dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya, Khamis lalu kerana bakal melahirkan anak ketujuh manakala bapanya, Salahul Bakri Abu Bakar, 40-an, gagal dikesan selepas menghilangkan diri sejak April lalu.
Berikutan itu, enam beradik berkenaan hanya bergantung pada bantuan jiran yang memberi juadah berbuka, sahur serta baju raya kerana Nurul Fitri sendiri perlu menguruskan adik bongsunya, Nur Ain Qasih, 3.
Sebelum ini, ibu mereka mencari pendapatan dengan menjual air tebu berhampiran rumah, namun kini mereka tiada sumber kewangan berikutan ibu dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun, nasib enam beradik berkenaan mendapat simpati jiran, pegawai Zakat Pulau Pinang (ZPP) serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal Muhasdey Muhamad yang melawat mereka, semalam.
Menurut Nurul Fitri, kali terakhir bapanya keluar rumah April lalu dan tidak pulang sehingga kini menyebabkan mereka hilang tempat bergantung.
“Ketika keluar bapa beritahu dia hendak pergi kerja di tempat jauh tetapi tidak pulang sehingga hari ini. Telefon bimbitnya juga gagal dihubungi dan kami sendiri tidak tahu dia berada di mana.
“Ibu pula masuk hospital empat hari lalu menyebabkan saya terpaksa menjadi ‘ketua’ keluarga menjaga adik-adik,” katanya kepada Harian Metro.
Lima adiknya, Aiman Affin, 11, Nurul Aida Qistina, 9, Aiman Qayyum dan kembarnya, Aiman Qayyim, 4, serta Nur Ain Qasih, 3.
Nurul Fitri berkata, adik bongsunya, Nur Ain sering teringatkan bapanya dan memanggil ‘abah’ jika ada tetamu atau jiran menziarahi mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 7:30 AM


NURUL Fitri (tiga dari kiri) menjaga lima adiknya ketika dikunjungi Muhasdey di Taman Bertam Indah, Kepala Batas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/64000#sthash.PYoGc6MS.dpuf

No comments:

Post a Comment