Friday, July 3, 2015

KDN Warta Perintah Larangan Penerbitan Enam Buku Agama


Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 2:47 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap pencetakan dan penerbitan enam buku berunsur keagamaan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, berkuat kuasa 9 Jun lepas.
Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar dalam satu kenyataan berkata kandungan buku itu didapati mengandungi unsur-unsur yang boleh mengelirukan umat Islam di negara ini dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam Al-Quran dan Hadis.
Buku tersebut bertajuk "Sakit Apakah Ubatnya ? Penelitian Daripada Al-Quran dan Hadis" yang diterbitkan oleh WJSB Resources, "55 Dongeng Teladan Untuk Anak Muslim" terbitan Penerbit Putra Jaya Surabaya, "Misteri Aneh dan Ganjil Bukti Keagungan Allah" (Fourbass Prints Sdn Bhd) dan "Misteri Aneh dan Ganjil 2 Membongkar Kewujudan Makhluk Halus" (Power Press and  Design (M) Sdn Bhd).
Dua lagi buku berbahasa Inggeris "Muhammad: A Story of God's Messenger and the Revelation that Changed the World" terbitan Harper Collins Publishers dan "The Golden Laws: History through the Eyes of The Eternal Buddha" diterbitkan Lantern Books A Division of Booklight Inc.
Menurutnya, pewartaan Perintah Larangan itu adalah menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
"Menurut subseksyen 2 Seksyen 8 akta sama, mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk dijual, mengedar atau memiliki penerbitan larangan adalah melakukan kesalahan.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

No comments:

Post a Comment