Portal berita deseretnews.com melaporkan, usaha murni itu dilakukan Jerusha Lamptey dari Union Theological Seminary dengan berpandukan rujukan pautan video bacaan al-Quran seperti Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman dari Malaysia, Sumaya Abdul Aziz Eddeeb dari Mesir, dan Seemi Ghazi dari Kanada serta banyak lagi pihak yang berkaitan.
Lamptey melancarkan kempen #AddAFemaleReciter di Twitter dengan menujukan kempennya itu ke laman web popular QuranExplorer.com dan beberapa aplikasi bacaan al-Quran yang lain dengan mendesak mereka untuk menambah bacaan qari wanita.
Sehingga kini petisyen itu te­lah menerima lebih daripada 175 tanda tangan.
“Ini merupakan isu penyertaan. Tiada apa yang melarang wanita daripada membaca al-Quran. Malah, itu adalah tanggungjawab semua umat Islam untuk belajar dan membaca al-Quran setiap hari tanpa sebarang perbezaan jantina,” kata Lamptey.
Dua tahun lalu, Persatuan Islam Amerika Utara yang merupakan pertubuhan terbesar umat Islam di AS menimbulkan kekecohan apabila Tahera Ahmad, seorang ustazah mengalunkan bacaan al-Quran secara terbuka di persidangan tahunannya di Universiti Northwestern.
Lamptey berpendapat, sudah tiba masanya umat Islam berfikiran lebih matang antara lelaki dan wanita.
“Pandangan apakah yang me­nyatakan lelaki yang mendengar bacaan al-Quran oleh wanita tidak mengingati Allah, tetapi terarah kepada nafsu semata-mata?,” katanya.