Tuesday, July 28, 2015

Laporan Interim Belum Boleh Didedahkan Kepada Umum


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 8:15 AM

PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee menjelaskan bahawa Laporan Interim Ketua Audit Negara terhadap siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) belum boleh didedahkan kepada umum.

Beliau memetik Perkara 85, Peraturan Mesyuarat Parlimen, yang menyatakan bahawa dokumen atau keterangan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa tidak boleh diterbitkan oleh mana-mana anggota jawatankuasa itu atau oleh orang lain sebelum jawatankuasa membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat.

Laporan interim 1MDB telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 9 Julai.

"Ia telah dikemukakan kepada PAC dan oleh itu menjadi sebahagian daripada bukti. Perkara 85, Peraturan Mesyuarat terpakai," katanya dalam satu posting di Twitter.

Kiandee berkata PAC terikat dengan Perkara 85, Peraturan Mesyuarat dan laporan interim telah menjadi sebahagian daripada keterangan dalam siasatan ke atas 1MDB.

Ahli Parlimen DAP Tony Pua yang juga anggota PAC, menggesa agar laporan interim didedahkan kepada umum.

PAC mula menyiasat 1MDB pada bulan Mei dan telah memanggil pegawai-pegawai Kementerian Kewangan untuk menjelaskan peranan kementerian dalam syarikat yang dibebani hutang itu.

Jawatankuasa itu yang dilantik pada permulaan setiap penggal baharu Parlimen, ditugaskan untuk menjalankan tugas-tugas tertentu dari semasa ke semasa.

Di Putrajaya, pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB telah membebaskan individu ketiga yang ditahan dengan jaminan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memohon untuk melanjutkan reman empat hari pemilik syarikat perdagangan yang berusia 28 tahun itu kerana keterangannya telah diambil.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin.

Individu berkenaan, yang syarikatnya berpangkalan di Setapak, ditahan pada 23 Julai di ibu pejabat SPRM di sini dan direman pada keesokannya.

Beliau adalah orang yang ketiga yang ditahan oleh pasukan petugas. Beliau telah disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM kerana rasuah.

Selepas pembebasannya, dua lagi masih berada di bawah tahanan SPRM.

Mereka adalah pengarah urusan berusia 48 tahun dan seorang kerani penghantar surat berusia 27 tahun.

Reman bagi pengarah urusan, yang juga seorang 'Datuk', berakhir SElasa.

Beliau dijangka akan dibebaskan.

No comments:

Post a Comment