SHAH ALAM - Rombakan Kabinet dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat, susulan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak difahamkan sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
 
Menurut lapor akhbar Utusan hari ini, Najib bertemu Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan senarai rombakan kabinet.

Kedudukan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi beliau dijangka tidak memegang apa-apa kementerian.
 
Beberapa menteri dijangka akan digugurkan dan bertukar kementerian serta ada timbalan menteri yang disebut-sebut akan dilantik sebagai menteri penuh.
 
Difahamkan, Menteri Sumber Hijau dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel mungkin digugurkan susulan krisis yang sedang melanda MIC.
 
Pertukaran juga dijangka dibuat bagi jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia apabila Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dikatakan akan digantikan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan.
 
Shabery dijangka akan bertukar ke portfolio lain.
 
Sementara itu, Utusan juga melaporkan bahawa seorang pemimpin Sabah akan dilantik menganggotai kabinet dan seorang timbalan menteri menjadi menteri penuh.