Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana tuduhan bahawa dana hampir AS$700 juta daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau seperti yang telah dilemparkan oleh WSJ itu bukan sahaja telah mencalarkan imej negara, malah melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.
Pada masa sama, tegas Ahmad Zahid, sesiapa yang menjadi dalang dalam penyebaran maklumat tidak tepat ini harus bertanggungjawab sepenuhnya dengan tindakan yang akan diambil pihak berkuasa kelak.
“Sebagaimana kita sedia maklum, Jabatan Peguam Negara (AG) dan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) sedang menyiasat isu 1MDB ini. Justeru, sewajarnya semua pihak menunggu hasil siasatan itu sebelum membuat sebarang penilaian.
“Tindakan WSJ mendahului siasatan yang sedang dijalankan itu sememangnya hanya bertujuan untuk mensensasikan berita.
“Sebagai satu institusi media yang berpengaruh dan dihormati dunia, seharusnya WSJ mengemukakan bukti kukuh terlebih dahulu sebelum melemparkan tuduhan berat seperti itu kepada Perdana Menteri,’’ katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas me­nyampaikan tazkirah dan sumbangan kepada anak yatim, balu-balu, kanak-kanak istimewa dan mualaf warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Hilir Perak, di sini hari ini.
WSJ melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun peribadi Perdana Menteri.
Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Ahmad Zahid berkata, bagi Kementerian Dalam Negeri, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut perundangan dan akta sedia ada kepada mana-mana media yang menyiarkan maklumat tidak tepat dari sumber tidak sah dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah negara dan kerajaan.
Malah, jelas beliau, undang-undang perbankan di negara ini tertakluk di bawah akta bank dan institusi-institusi kewangan (BAFIA) dan maklumat yang ada dalam rahsia perbankan itu tidak seharusnya didedahkan.
“Apatah lagi berita itu adalah berita yang datangnya daripada dokumen yang tidak disahkan oleh pihak bank untuk dijadikan berita sensasi. Ini di luar daripada etika kewartawanan.
“Saya tidak mahu memusuhi mana-mana media tetapi media harus kredibel dalam memaparkan pemberitaan.
“Sekarang ini kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk berbincang dengan peguam beliau ataupun Peguam Negara dan oleh kerana ini adalah saman malu, maka boleh dilakukan atas kapasiti sebagai individu atau Perdana Menteri,’’ katanya.