Raja Petra
Agensi-agensi itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti.
Pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berkata, akta itu tidak terpakai bagi pemberi maklumat kepada pihak lain termasuk media lebih-lebih lagi yang dicuri.
“Ramai yang terkeliru dengan akta berkenaan. Mereka mengatakan bahawa media yang menerbitkan data yang dicuri perlu diberi perlindungan di bawahnya.
“Sedangkan, akta tersebut mengatakan pemberi maklumat hanya boleh memberikan maklumat yang diperoleh secara sah sahaja, bukannya yang dicuri kepada tujuh agensi yang disebut,” katanya dalam entri terbarunya hari ini.
Kenyataan beliau merujuk kepada artikel Steven Sim yang diterbitkan dalam Malaymail Online yang mempersoalkan tindakan menghalang keluar negara terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan pemilik The Edge Media Group, Tong Kooi Ong.
Steven berkata, ketiga-tiga individu itu sebaliknya perlu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan diberi imuniti daripada tindakan sivil dan jenayah.
Sementara itu, Raja Petra berkata, adalah menjadi suatu jenayah sekiranya maklumat yang dimiliki didedahkan atau diterbitkan kepada umum walaupun laporan telah dibuat kepada tujuh agensi berkenaan.
Dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ujarnya, The Edge hanya memainkan peranan sebagai pemberi maklumat iaitu menyerahkan bukti-bukti kepada pihak berkuasa selepas menerbitkan maklumat tersebut.
Katanya, ini bermakna The Edge bukan sahaja kehilangan kelayakan mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat malah telah melakukan jenayah.
“Pendedahan maklumat sulit akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
“Hentikanlah berbohong kepada rakyat. Undang-undang memberitahu bahawa jika anda mendedahkan maklumat sulit sama ada telah atau tidak melaporkan kepada pihak berkuasa, anda bukan pemberi maklumat sebaliknya melakukan jenayah,” katanya.